WILAYAH - TENGAH > BERITA

Malaysia Terus Angkat Martabat ASEAN, Fokus Sidang Kemuncak Ke-47 Oktober Ini

03/09/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Malaysia terus komited mengekalkan momentum positif Kepengerusian ASEAN 2025 yang hanya berbaki empat bulan khususnya dalam menjamin kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan pada Oktober ini. 

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata kehadiran pemimpin utama dunia pada bulan depan akan mengangkat profil Malaysia sebagai hab diplomasi serantau yang disegani, sekali gus membuktikan komitmen negara terhadap keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau serta sejagat.

"Dasar luar Malaysia yang bebas dan berkecuali serta berteraskan pendekatan berprinsip dan pragmatik, terus berjaya memperkasakan martabat negara di persada dunia," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Luar di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2, ASEAN-GCC-China serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan menjadi medan penting untuk negara anggota ASEAN menyuarakan keprihatinan mendalam terhadap cabaran semasa.

Isu-isu tersebut, katanya termasuk ketegangan geopolitik, perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi global serta isu kemanusiaan seperti krisis di Myanmar dan Palestin.

“Malaysia telah menegaskan perlunya ASEAN memperkukuh perpaduan dalaman, bertindak tegas terhadap isu yang menjejaskan solidariti dan kredibiliti ASEAN, dan kekal berprinsip dalam menyuarakan pendirian serantau terhadap isu-isu sejagat,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata Malaysia akan terus mengukuhkan hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) melalui dialog terbuka dan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang utama termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, kesihatan, pendidikan serta hubungan antara rakyat.

Beliau berkata hubungan yang terbina antara kedua-dua negara sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1957 itu memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan teknologi dan peluang pelaburan bernilai tinggi.

Katanya pada 2024, nilai dagangan dengan AS berjumlah RM324.91 bilion dan pada tahun sama, negara “Uncle Sam” itu turut merupakan sumber utama pelaburan langsung asing di Malaysia dengan jumlah RM105.94 bilion.

“Ini menunjukkan tahap keyakinan pelabur AS terhadap Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang stabil serta berdaya saing. Malaysia berpegang kepada pendekatan yang pragmatik dan seimbang berasaskan prinsip berbaik-baik dengan semua negara, di samping menghormati kedaulatan dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan