WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BNM Dijangka Kekal OPR Pada 2.75 Peratus Untuk Sokong Peminjam

04/09/2025 01:54 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pemain pasaran menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus hari ini kerana mengekalkan kadar berkenaan akan memastikan isi rumah dan perniagaan terus membayar jumlah ansuran yang sama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mengekalkan OPR akan menunjukkan bahawa kadar semasa adalah kondusif untuk kestabilan ekonomi dan pertumbuhan

Beliau berkata bank menggunakan OPR sebagai penanda aras apabila menyatakan kadar deposit dan pinjaman kepada pelanggan, selain itu pertumbuhan pinjaman juga telah stabil, sekitar 5.4 peratus pada Julai daripada 5.1 peratus pada bulan Jun.

“Oleh itu, aktiviti peminjaman dalam sektor perbankan sebenarnya berjalan seperti biasa walaupun terdapat perubahan dalam OPR,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Ketika ini, beliau berpandangan bahawa ekonomi Malaysia stabil dengan pasaran buruh kekal dalam keadaan guna tenaga penuh dan risiko inflasi kekal terurus.

“Mungkin OPR boleh dikekalkan pada 2.75 peratus sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, Pakar Strategi Pelaburan IPP Wealth Managers Ltd yang juga pakar ekonomi negara Mohd Sedek Jantan berkata BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, seiring dengan usaha menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.

“Dengan inflasi keseluruhan pada 1.2 peratus dan pengangguran pada 3.0 peratus, pendekatan ini memastikan kestabilan dasar, menyokong permintaan peringkat tempatan dan memastikan keadaan monetari akomodatif tanpa menambah tekanan inflasi.

“Petunjuk makroekonomi terkini juga menunjukkan daya tahan dengan eksport Julai mencatatkan pertumbuhan positif, mengukuhkan keyakinan dalam sektor luaran Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan