WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2026 Perkukuh Reformasi Perumahan - Amir Hamzah

04/09/2025 03:28 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Dalam merangka Belanjawan 2026 kerajaan turut meneliti mekanisme sokongan untuk memperkukuh reformasi perumahan, dengan tumpuan khusus kepada inisiatif memperluas akses kepada perumahan mampu milik, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dapat memiliki rumah yang sesuai dengan kemampuan kewangan masing-masing.

“Perumahan mampu milik akan terus menjadi keutamaan Malaysia dalam melangkah maju, kita sedang meneliti mekanisme baharu untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki dan mampu membeli rumah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan “Property Information System Malaysia” (PRISM) 2.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata reformasi mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) juga dirangka untuk menangani isu perumahan termasuk pembangunan model baharu seperti skim sewa untuk beli (RTO) dan peralihan secara berperingkat kepada pendekatan siap bina kemudian jual (BTS) bagi mengurangkan risiko projek terbengkalai.

Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober ini.

Mengulas mengenai pertambahan unit kediaman tidak terjual sejak suku pertama tahun ini, Amir Hamzah berkata pasaran hartanah secara keseluruhan masih stabil, namun reformasi diperlukan untuk menangani isu struktur.

“Bagi kita yang utama adalah pasaran secara keseluruhannya masih stabil, dan yang penting pasaran menyokong segmen yang paling memerlukan, terutama perumahan mampu milik,” katanya.

Beliau berkata kemampuan memiliki rumah berkait rapat dengan paras pendapatan, oleh yang demikian kerajaan telah melaksanakan reformasi pasaran tenaga kerja yang meluas untuk meningkatkan kuasa beli isi rumah.

“Kita telah menyaksikan inisiatif seperti kenaikan gaji minimum, usaha giat untuk gaji progresif dan galakan kepada syarikat untuk menawarkan gaji sara hidup. Semua ini bertujuan meningkatkan kemampuan memiliki rumah melalui kenaikan paras pendapatan,” katanya.

Beliau berkata sebagai pelengkap kepada semua usaha itu, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula membolehkan mereka tanpa pendapatan tetap memperoleh pinjaman perumahan melalui jaminan kerajaan.

Semua usaha itu merupakan penyelesaian kreatif untuk membantu rakyat memulakan pemilikan rumah, katanya.

“Bagaimanapun perkara paling penting adalah membetulkan asas kemampuan rakyat dalam negara, yang merangkumi usaha melonjakkan paras pendapatan,” katanya.

Amir Hamzah berkata berlandaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan menyasarkan bahagian pekerja daripada ekonomi meningkat daripada 33 peratus kepada 40 peratus.

Beliau berkata peluasan cukai perkhidmatan (SST) tidak akan menjejaskan sektor perumahan kediaman.

“Pembinaan dan bekalan bahan untuk projek kediaman dikecualikan daripada SST. Tujuannya untuk melindungi kemampuan rakyat, manakala sektor komersial akan menanggung sebahagian daripada cukai itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan rancangan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 masih mengikut pelan untuk dilaksanakan sebelum akhir 2025, dengan menggunakan sistem kad pengenalan (IC) bagi memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Kita telah menyatakan sebelum ini, pelan subsidi RON95 akan dilaksanakan sebelum hujung tahun ini. Kaedahnya menerusi penggunaan kad pengenalan dan sistem yang sesuai supaya majoriti rakyat akan menikmati subsidi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan