WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sebutan Semula Kes Dadah Pemandu Bot Terbalik Di Pulau Perhentian 1 Okt

04/09/2025 03:26 PM

JERTIH, 4 Sept (Bernama) -- Mahkamah Majistret Besut di sini hari ini menetapkan 1 Okt ini untuk sebutan semula kes berkaitan dadah yang dihadapi pemandu bot terbalik di Pulau Perhentian, yang mengorbankan tiga penumpang tempatan pada 28 Jun lepas.

Majistret Nurliyana Md Zukri menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar yang memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan patologi masih belum diperolehi.

Pada 3 Julai lepas, Azrie Yazid, 22, mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya disyaki jenis nimetazepam yang tersenarai dalam Bahagian III dan IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Besut, di sini pada 10.05 pagi, 29 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan, jika sabit kesalahan.

Pada 28 Jun lepas, S. Arumugam, 40, dan anaknya A. Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V. Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera, selain 10 lagi terselamat dalam kejadian pada 10.30 malam.

Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu sebelum ini berkata pemandu bot terbabit disahkan positif dadah selain turut mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan