WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penyebaran Fitnah, Kebencian Di Media Sosial Cetus Perpecahan Dalam Kalangan Ummah - Sultan Nazrin

04/09/2025 10:12 PM

IPOH, 4 Sept (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah penyebaran fitnah dan kebencian yang semakin menular terutama menerusi media sosial mencetuskan perpecahan dalam kalangan ummah masa kini.

Baginda bertitah saban hari ummah disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersenda dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulannya, menjelmakan budaya baharu yang sangat bercanggah dengan adab seorang Muslim dan adat Melayu.  

"Hati yang tidak dijaga dengan ketakwaan, menjadikan anggota mulut yang berkata-kata dan tangan yang menyentuh papan kekunci gajet bebas melakukan apa sahaja,” titah baginda ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Perak di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin bertitah ummah masa kini juga menghadapi cabaran dalam mendepani penyatuan dengan semangat ukhuwah yang muhibah.  

Titah baginda perbezaan dan perbalahan bagi memenangkan hujah masing-masing yang berlaku antara kabilah politik, mazhab dan bangsa telah mencetuskan polemik dalam kalangan ummah.  

"Ummah seolah-olah melupakan wasiat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam agar meninggalkan perbuatan yang tercela seperti mengejek, memberi gelaran jelik, bersangka buruk, mengumpat, memfitnah, dan menjatuhkan hukum tanpa diselidiki,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi tindak-tanduk yang melampaui batasan ini boleh membawa kepada perpecahan apabila golongan yang miskin adab dan kedana adat mengetepikan nas agama dan kehalusan budaya warisan bangsa.  

"Akibatnya berlakulah kerosakan, nilai-nilai murni agama diberikan tafsiran songsang, adat dipinggirkan, menyebabkan fahaman dan pegangan ummah, terutama dalam kalangan generasi muda terpesong dan songsang,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah generasi muda hari ini juga perlu diperingatkan tentang kisah pahit penjajahan dan jerih perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Titah baginda jarak yang terpisah antara tarikh negara mencapai kemerdekaan dengan tarikh kelahiran generasi muda, menjauhkan generasi muda daripada memahami perit dan penderitaan penjajahan, erti kemerdekaan dan semangat kemerdekaan untuk membentuk kesepaduan umat yang berbilang kaum dan berlainan agama.

"Perjanjian yang pernah dipersetujui jangan dibiarkan dipersoalkan sewenang-wenangnya disebabkan semakin terhakis sikap saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain serta dipengaruhi oleh api perselisihan yang semakin dinyalakan melalui retorik politik yang memilih untuk mengeksploitasi isu kaum dan agama,” titah baginda.

Justeru, baginda bertitah usaha perlu dipergiatkan untuk mengembalikan manhaj pembinaan negara bangsa berpandukan kebijaksanaan dan semangat yang diasaskan oleh Baginda Rasulullah SAW.

"Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, dan menguasai pelbagai bahasa.

"Sikap bersederhana dan amalan bertoleransi dapat memberi peluang dan ruang kepada semua golongan untuk saling  memahami dan saling menghormati di samping mengenali batas sempadan, tidak mengusik perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” titah baginda.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan