WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hampir Tiga Bulan Dilaporkan Hilang, Remaja UK Ditemukan Selamat

04/09/2025 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Remaja warga United Kingdom, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sejak tiga bulan lepas ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah hotel di Jalan Pudu dekat sini malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus, yang mengesahkan perkara itu, memaklumkan remaja tersebut ditemukan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 7 malam.

"Butiran lanjut akan dimaklumkan setelah pemeriksaan selesai dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, polis menyiasat kes kehilangan remaja itu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas menaiki penerbangan ke Malaysia secara senyap-senyap.

Pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester itu meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan menaiki penerbangan seorang diri dari Manchester ke Kuala Lumpur.

Dia juga bertindak mematikan telefon sejurus tiba di Malaysia dan dilaporkan telah menghantar e-mel kepada ibunya buat kali terakhir pada 9 Julai lepas.

Antara kandungan e-mel tersebut ialah pesanan Balisong supaya ahli keluarga tidak mencari atau bimbang akan keadaan dirinya dan remaja berkenaan turut mendoakan agar mereka berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf atas tindakannya itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan