WILAYAH - UTARA > BERITA

Empat Lagi Taman Rekreasi MADANI Dirasmikan, KPKT Rancak Mensejahterakan Rakyat

06/09/2025 02:53 PM

IPOH, 6 Sept (Bernama) -- Empat lagi Taman Rekreasi MADANI (TRM) dirasmikan hari ini, dalam usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempergiat langkah mensejahterakan rakyat menerusi agenda pembangunan 1,000 TRM menjelang tahun 2035 di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata empat daripada keseluruhan 12 TRM, yang dibangunkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu telah siap sepenuhnya pada Julai lepas seperti disasarkan.

Nga berkata TRM itu ialah TRM Taman Pusing Baru, TRM Taman Kledang, TRM Taman Pengkalan Barat dan TRM Taman Westpool, di sini.

“Dalam kawasan Ipoh sahaja, kami (KPKT) telah memperuntukkan RM5.4 juta untuk membina 12 buah TRM. Hari ini, kita telah rasmikan empat, ada lapan lagi sebenarnya pun sudah siap, cuma tidak sempat dirasmikan. 

“Bagaimanapun, ia (TRM berkenaan) sudah diguna pakai dan banyak mendatangkan maklum balas yang sangat positif, kerana kini TRM bukan sahaja tempat orang untuk beriadah, berehat, beristirahat, tetapi dia sudah menjadi satu bentuk fisioterapi untuk menjaga kesihatan mental,” katanya pada sidang media selepas merasmikan TRM Taman Westpool di sini hari ini.

Nga berkata KPKT berjaya melepasi sasaran dengan menyempurnakan 109 TRM pada tahun lepas, manakala tahun ini 100 lagi TRM bakal disempurnakan, menjadikan 216 TRM bakal siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini untuk digunakan penduduk sebagai taman kejiranan.

Sementara itu, Nga berkata beliau juga telah merasmikan Pintu Gerbang Kampung Kepayang pagi tadi, iaitu kampung Melayu pertama dalam kawasan Ipoh sejak tahun 1915.

“Kampung itu berdiri megah dalam kawasan bandar raya Ipoh, akhirnya mereka (penduduk) mendapat pintu gerbang baharu selepas menanti 110 tahun. Kerajaan MADANI akan sentiasa pastikan pembinaan TRM ini menjadi mercu tanda ikonik dan kegemaran penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Nga tidak menafikan bahawa pihaknya ada menerima aduan berkaitan kerosakan akibat sikap pengguna di TRM, justeru menyeru semua pihak wajib memastikan kemudahan yang dibina itu dijaga sebaik mungkin atas dasar tanggungjawab bersama.

“Pastikan semua kemudahan (TRM) ini dijaga dengan sebaik-baik yang mungkin, ini tanggungjawab kita semua, tiada alasan. Ada sedikit laporan (kerosakan), tetapi walaupun keadaan tidak serius, saya menaruh harapan yang tinggi menuju ke vandalisme sifar supaya tak ada satu kes pun,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan