BALING, 6 Sept (Bernama) -- Prestasi sistem pelaksanaan bantuan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini berjalan dengan baik dan lancar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata walaupun timbul sedikit masalah pada awal pelaksanaannya, namun masalah berkenaan telah dapat diatasi.
“Saya tengok kalau setakat tadi bukan satu, (tapi) tujuh atau lapan (pembelian) yang saya tengok, nampak berjalan baik. Cuma hari pertama, kedua ada glitch (gangguan sementara) sikit, sekarang nampak lancar.
“Sekarang dah tak ada masalah...dah empat, lima hari, tak ada satu aduan pun lagi,” katanya semasa melakukan tinjauan sempena Program Outreach SARA 2025 di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Mengenai penambahbaikan sistem SARA, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebarang ikhtiar atau dasar baharu berkaitan sistem bantuan berkenaan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026, Oktober ini.
Sementara itu, Anwar berkata pelaksanaan bantuan penghargaan SARA RM100 tidak tertumpu kepada pasar raya besar sahaja tetapi turut merangkumi kedai runcit dan pasar raya di kawasan luar bandar.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, kerajaan mengumumkan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA, yang disalurkan terus melalui MyKad.
Inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada 22 juta rakyat melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial