BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
KOTA BHARU, 7 Sept (Bernama) -- Penternak tempatan di negeri berhampiran sempadan Malaysia-Thailand termasuk Kelantan akan terkesan sekiranya penyeludupan haiwan ruminan terus berlaku.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kemasukan haiwan itu secara haram akan menggugat harga pasaran daging tempatan malah menimbulkan risiko penularan penyakit daripada haiwan yang tidak disaring oleh Jabatan Veterinar.
"Mengikut rekod, sebanyak 70,000 ekor lembu diseludup sepanjang tahun lalu. Sekiranya penyeludupan ini berterusan penternak-penternak yang berdekatan dengan sempadan termasuk Kelantan dan Kedah akan terkesan.
"Kita tahu rakyat boleh terima kalau harga daging RM25 hingga RM35 sekilogram secara umum tetapi apabila ada penyeludupan, daging yang ditawarkan lebih murah sekali gus memberi masalah kepada penternak tempatan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm Sdn Bhd di Kampung Seribong di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak terlibat bekerjasama untuk mengatasi masalah penyeludupan tersebut.
"Mungkin mereka yang membenarkan kemasukan haiwan ruminan secara haram ini akan memperoleh beberapa ribu ringgit tetapi kena ingat tindakan itu telah menganiaya negara," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata kementeriannya kini dalam usaha meningkatkan pengeluaran daging berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan domestik serta mengurangkan kebergantungan import.
"Berdasarkan data ternakan lembu baka hibrid, ternakan lembu wagyu sehingga Jun lalu berjaya merekodkan hasil sebanyak 481 ekor berbanding pencapaian tahun 2024 hanya sekitar 393 ekor. Peningkatan ini menunjukkan permintaaan yang semakin tinggi terhadap lembu wagyu tempatan," katanya.
Ketika ditanya mengenai isu pergolakan di Indonesia, Mohamad berkata perkara itu tidak memberikan kesan ketara kepada aktiviti import negara.
"Bekalan makanan dan keterjaminan (makanan) negara tidak terancam susulan pergolakan itu. Di sana pun kembali reda, negara Indonesia sudah biasa dengan perkara itu (pergolakan) dan biasanya ia cepat kembali reda," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial