WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kurang Pasti Tentang Kecederaan Berjalur Kod Bar, Tumpuan Untuk Selamat Zara Qairina - Saksi

09/09/2025 04:20 PM

KOTA KINABALU, 9 Sept (Bernama) -- Pegawai perubatan yang pertama memeriksa Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, beliau tidak melihat sebarang kecederaan berbentuk jalur selari seperti kod bar atau 'barcode injuries’ pada tubuh pelajar Tingkatan Satu itu.

Dr Janefer Voo, 32, yang berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini menyatakan perkara itu sebagai maklum balas kepada soalan peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada remaja yang terlibat dalam kes buli si mati.

Ram: Doktor, adakah anda menemukan sebarang kecederaan berbentuk kod bar pada tubuhnya (Zara Qairina)? Adakah anda melihat apa-apa?

Dr Voo menjawab “Tidak, saya tidak menyedari sebarang kecederaan sedemikian.

Ram: Awak tidak menyedarinya atau awak memang tidak memeriksanya?

Dr Voo: Apabila pesakit tiba, kami melakukan pemeriksaan segera pada tangan dan lengan. Kami mendapati ada kelainan pada tangan kiri, yang kemudiannya dipasang pendakap. Pada masa itu, diagnosis awal ialah patah tertutup. Tiada apa-apa yang direkodkan mengenai kecederaan berbentuk jalur seperti kod bar.

Ram: Apabila anda menanggalkan pakaian Zara Qairina, anda pasti periksa seluruh badannya untuk meneliti kecederaan dari kepala hingga ke kaki, depan dan belakang. Betul?

Dr Voo menjawab: “Ya, namun keutamaan kami adalah mengenal pasti kecederaan yang mengancam nyawa”.

Berkongsikan pengalaman beliau berkhidmat selama lima tahun di Jabatan Kecemasan dan Trauma, saksi ketiga berkenaan memberi keterangan bahawa kebanyakan pesakit yang mengalami kecederaan berjalur seperti kod bar merupakan golongan remaja atau lingkungan awal 20-an, dan kecederaan seumpama itu lazimnya berkaitan dengan perbuatan mencederakan diri sendiri.

Doktor berkenaan turut menjelaskan kecederaan terbabit boleh disebabkan oleh objek tajam dan coraknya akan kelihatan seperti kod bar.

Menjawab soalan lain, Dr Voo berkata beliau tidak pasti apa yang berlaku pada pakaian si mati selepas ia ditanggalkan kerana kebiasaannya barang-barang milik pesakit akan diuruskan oleh jururawat dan paramedik.

Ram: Doktor, adakah terlintas dalam fikiran anda pakaian berkenaan perlu diserahkan kepada polis untuk analisis forensik?

Dr Voo: Pada masa itu, kami menumpukan untuk menyelamatkan pesakit. Setelah pakaian ditanggalkan, ia mungkin telah dimasukkan ke dalam beg oleh petugas kami. Tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menyerahkannya kepada polis. Keutamaan saya adalah menstabilkan remaja terbabit.

Ditanya sama ada si mati memakai tudung semasa tiba di jabatan terbabit, Dr Voo berkata, “Tidak memakai tudung, kerana luka di belakangnya telah pun dibalut. Jadi, saya tidak ingat sama ada dia memakai tudung atau tidak".

Terdahulu, Dr Voo memberitahu mahkamah bahawa beliau adalah doktor pertama yang memeriksa Zara Qairina pada 16 Julai, selepas remaja berkenaan dibawa ke jabatan itu oleh seorang penolong pegawai perubatan dan pihak ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun pada masa itu punca kecederaan tidak diketahui.

Prosiding siasatan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung selepas rehat tengah hari.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.

Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan