WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAM Nafi Terima Tiket Percuma Piala Dunia 2022

09/09/2025 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan badan induk itu menerima tiket percuma daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata dakwaan yang dibangkitkan seorang wartawan veteran menerusi sebuah artikel di portal berita tempatan baru-baru ini adalah tidak berasas.

“Ingin saya tegaskan bahawa tiada tiket percuma daripada FIFA. FAM tidak menerima apa-apa tiket perlawanan Piala Dunia 2022 secara percuma walaupun FAM merupakan sebuah daripada ahli gabungan FIFA.

“Jadi jika ada dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan FAM menerima tiket percuma daripada FIFA, itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pada masa sama, Noor Azman menjelaskan setiap ahli gabungan FIFA termasuk FAM tetap diberikan peruntukan untuk pembelian tiket menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, beliau berkata FAM hanya membeli sejumlah 92 tiket daripada peruntukan maksimum sebanyak 290 keping.

“Seperti yang dinyatakan dalam surat FIFA bertarikh 17 Jun 2022, peruntukan tiket adalah untuk pembelian daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif, Ahli-ahli Gabungan FAM, rakan penaja dan pemegang taruh berkaitan.

“Berdasarkan jumlah permintaan pembelian yang diterima, FAM hanya membeli sebanyak 92 keping tiket iaitu 72 keping bagi kategori perlawanan peringkat kumpulan, pusingan 16 terbaik, suku akhir dan penentuan tempat ketiga serta 20 keping bagi kategori aksi pembukaan, separuh akhir dan final,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata FAM tidak pernah menjual tiket Piala Dunia kepada peminat dan penyokong bola sepak Malaysia termasuk bagi edisi Piala Dunia 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan