WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Terbuka Hong Kong: Jun Hao Tewaskan Zii Jia

10/09/2025 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) – Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao akhirnya berjaya mengatasi rakan senegara Lee Zii Jia sekali gus mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Hong Kong 2025 hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, pemain nombor 23 dunia itu mencatat kemenangan sulung ke atas Zii Jia dengan keputusan 21-16, 21-16, sekali gus menamatkan rekod tiga kekalahan dalam pertemuan sebelum ini termasuk di Terbuka Artik 2023.

Zii Jia yang berada di ranking ke-47 dunia bermula agresif pada set pertama menerusi beberapa pukulan smash bertenaga namun banyak hantaran beliau tersasar keluar gelanggang justeru memberikan kelebihan buat Jun Hao mengesahkan kemenangan 21-16.

Jun Hao terus mengekalkan momentum pada set kedua walaupun diasak hebat oleh Zii Jia.

Bagaimanapun, usaha Zii Jia untuk mengheret perlawanan ke set penentuan tidak berhasil apabila Jun Hao kekal tenang bagi meraih kemenangan straight set.

Menanti Jun Hao pada pusingan kedua ialah pemenang perlawanan antara satu lagi wakil negara Justin Hoh dengan pilihan kelapan kejohanan dari Perancis, Toma Junior Popov.

Dalam pada itu, Justin mengesahkan pertemuan dengan Jun Hao selepas mengejutkan Popov.

Turun sebagai pemain bukan pilihan, Justin tampil dengan corak permainan yang begitu meyakinkan, sekali gus membolehkannya menutup aksi dengan kemenangan straight set 21-12, 21-17 dalam tempoh 43 minit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan