WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Waris Mangsa Bot Terbalik Terima Bantuan FOT Perkeso

10/09/2025 06:33 PM

MARANG, 10 Sept (Bernama) -- Tiga beradik yang kehilangan tempat bergantung selepas kematian ibu bapa pada 31 Ogos lepas akan menerima bayaran faedah orang tanggungan (FOT) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meringankan beban dan meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Pengarah PERKESO Terengganu Suhara Mustaffa berkata tiga daripada enam anak kepada Allahyarham Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Allahyarhamah Nor Hasriah, 46, yang meninggal dunia ketika keluar menangkap ikan di perairan Kuala Merchang di sini, akan menerima FOT berjumlah RM850 sebulan sehingga mencapai usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Beliau berkata tiga remaja berkenaan iaitu Muhammad Haziq Adha,19, Nur Najihah,16, dan Nur Nadzirah, 15, akan dijadikan anak angkat PERKESO bagi memastikan pendidikan dan kebajikan mereka terjaga.

"Hasil pemeriksaan Skuad Prihatin PERKESO mendapati Allahyarham Abdul Rahim merupakan pencarum aktif Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) tajaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). 

"Kepentingan caruman di bawah Skim LINDUNG Kendiri itu dibuktikan apabila waris menerima faedah perlindungan PERKESO sebagai bekalan meneruskan kehidupan yang penuh rintangan," katanya ketika menyampaikan FOT dan faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 kepada waris mangsa di Kampung Pulau Kerengga, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang Musa Ismail.

Dalam pada itu, Nur Nabilah Abdul Rahim, 23, berkata mereka enam beradik terutama Nur Nadzirah masih terkesan dengan pemergian orang tua mereka secara tiba-tiba.

Beliau yang merupakan anak ketiga berkata mereka adik-beradik amat rindu kepada alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada kedua ibu bapa mereka.

"Kami enam beradik..yang masih belajar ada lagi empat orang iaitu dua di universiti dan dua sekolah menengah. 

"Insya-Allah dengan adanya bantuan ini dapat meringankan belanja persekolahan adik-adik. Saya pula merancang untuk memohon bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains Akuakultur di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Oktober nanti," katanya.          

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan