WILAYAH - SARAWAK > BERITA

China Konsisten Dalam Peningkatan Tahap Keterbukaan Dan Kualiti Perdagangan Dalam Perkhidmatan

10/09/2025 05:00 PM

BEIJING, 10 September (Bernama - CMG) -- China konsisten dalam memperhalusi pelaksanaan dasar pintu terbuka, menyesuaikan diri dengan peraturan perdagangan antarabangsa, mempercepat pelaksanaan projek rintis seiring dengan pembangunan zon perdagangan bebas dan zon inovasi perdagangan dalam perkhidmatan kebangsaan, dan meningkatkan keterbukaan pasaran perkhidmatan domestik secara bertahap dan kualiti pembangunan sektor terbabit.

Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping dalam surat tahniahnya kepada penganjur Pameran Perdagangan Dalam Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2025 yang dirasmikan di sini pada Rabu.

Beliau berkata China bersedia bersama dengan pelbagai pihak bagi menggalakkan kolaborasi inovatif perdagangan perkhidmatan global, mengembangkan ekonomi yang terbuka dalam senario global, agar menyuntik kedinamikan baharu bagi usaha membentuk komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Dimaklumkan, sebanyak hampir 2,000 syarikat dari lebih 70 negara dan pertubuhan antarabangsa hadir dalam pameran berkenaan, antaranya termasuk hampir kesemua perusahaan yang tersenarai sebagai 500 paling terkemuka di peringkat dunia.

Dalam perkembangan lain, China Global Television Network (CGTN) telah melancarkan satu tinjauan pendapat umum berhubung CIFTIS 2025 yang bertemakan "diterajui pendigitalan dan teknologi pintar, perdagangan dalam perkhidmatan diperbaharui".

Menurut keputusan berkenaan, 93.2 peratus respoden menanti-nantikan pameran kali ini boleh menjadi satu platform bagi berkongsi peluang, menggalakkan pewujudan situasi yang saling menguntungkan dan memacu ekonomi sedunia.

Sebanyak 89 peratus responden menganggap, CIFTIS telah menjadi satu wahana penting dalam sektor berkenaan, sedangkan 93.8 peratus berpendapat bahawa platform terbabit berjaya menyediakan akses berharga kepada syarikat kecil dan sederhana dan perusahaan baharu di negara-negara dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Sementara itu, 91.4 peratus responden menyifatkan CIFTIS mempamerkan tekad China untuk menyediakan inisiatif bagi  melibatkan diri dalam landskap ekonomi perdagangan global malah menambah elemen-elemen baharu kepadanya.

Untuk rekod, terdapat seramai 4,995 responden yang terlibat dalam tinjauan pendapat itu, yang dilancarkan dalam bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis, Arab dan Rusia dalam 24 jam.

–BERNAMA-CMG

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan