KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Program Suarasa Putera Raja: “Inspirasi Kepimpinan Generasi MADANI” yang diadakan hari ini bertujuan memperkukuh pemahaman belia terhadap peranan Institusi Diraja.
Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan program itu juga bermatlamat mempromosikan kepimpinan yang berteraskan nilai, menyemai semangat perpaduan nasional dan sebagai agenda seruan agar belia menjadi ejen penyatuan.
Antara pengisian lain ialah Forum Kenegaraan yang bertemakan "Jati Diri Nasional: Inspirasi Kepimpinan Global" dan Sesi Perkongsian ilmu: Pembinaan Negara Bangsa Melalui Demokrasi Parlimen.
“Peserta turut dibawa melawat di sekitar Parlimen sebagai satu proses pembelajaran dan kefahaman mengenai sistem demokrasi berparlimen serta pengalaman secara langsung berkaitan dengan proses pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu.
Putera Raja Negeri Sembilan Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke program itu yang berlangsung di Dewan Banquet, Parlimen.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Datuk Dr Roslan Hussin.
Sebanyak 400 peserta terdiri daripada pemimpin belia daripada universiti awam dan swasta, Institusi Pendidikan Guru, pertubuhan belia dan pemimpin pelajar dari sekolah seni, sekolah sukan, sekolah harian dan swasta, mengambil bahagian dalam program itu.
“Akademi Kenegaraan Malaysia sebagai peneraju latihan kenegaraan, terus komited dalam menganjurkan program-program yang efektif dan berimpak dalam memupuk semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan warganegara, khususnya belia,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial