WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Kedah Diharap Laksanakan Pembangunan Di Luar Kawasan Mada

11/09/2025 05:13 PM

ALOR SETAR, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan Kedah diharap dapat mempertimbangkan untuk melaksanakan projek pembangunan lain seperti perumahan dan industri di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) khususnya di kawasan pengeluaran hasil padi yang tinggi.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata pihaknya sedar keperluan kerajaan negeri untuk menjana hasil pendapatan menerusi pembangunan tanah namun hal itu perlu dirancang dengan baik bagi memastikan keterjaminan makanan negara.

“Kita faham keperluan kerajaan negeri yang menghadapi cabaran pendapatan tetapi kalau boleh kita minta pembangunan ini dilakukan di luar kawasan MADA atau kawasan-kawasan yang mengeluarkan hasil yang rendah...jangan lakukan di kawasan yang berpotensi tinggi seperti di daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Yan.

“Kalau pembangunan ini dibuat di kawasan yang telah lengkap dengan sistem pengairan, infrastruktur sokongan, jalan ladang dan sebagainya, ia sudah pastinya akan menyebabkan satu kerugian yang besar kepada semua pihak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penetapan Jadual Penanaman Padi Musim 2/2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rancangan untuk membuka kawasan baharu tanaman padi dikenali sebagai MADA Plus bagi menggantikan sawah sedia ada yang terlibat dalam pembangunan negeri melibatkan lebih 15,000 hektar kawasan tanaman padi.

Dr Ismail berkata dalam tempoh 50 tahun lepas, Kedah sudah kehilangan 8,758 hektar sawah akibat penukaran guna tanah dan sekiranya cadangan baharu itu diluluskan, Kedah bakal kehilangan lagi lebih 15,000 hektar kawasan tanaman padi sedia ada.

“MADA terbuka untuk berbincang dengan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan yang dirancang itu dapat dilakukan dengan seimbang demi kepentingan semua pihak. Walaupun kawasan akan berkurang, tetapi kita akan melaksanakan pelbagai agenda bagi meningkatkan hasil padi.

“Kita memberi jaminan bahawa pengeluaran padi di Kedah tidak akan terjejas meskipun terdapat pengurangan kawasan jelapang padi di Kawasan Muda kerana MADA telah mengambil langkah awal dengan memperluas kawasan sawah bagi memastikan hasil pengeluaran kekal stabil,” katanya.

Katanya MADA sedang berusaha meningkatkan hasil termasuk penanaman skala besar (PPSB) dan penanaman lima musim dalam dua tahun.

Sementara itu, Dr Ismail turut mengingatkan para peladang untuk mematuhi jadual penanaman padi bagi Musim 2/2025 yang telah ditetapkan iaitu tarikh akhir menabur Fasa I pada 29 Okt, Fasa II pada 8 Nov dan FASA III pada 18 Nov depan.

“Sehingga hari ini, status keseluruhan kedudukan semasa takungan air di tiga empangan selian MADA adalah sebanyak 599,322 ekar kaki bersamaan 49 peratus. Takungan Empangan Ahning sebanyak 52.82 peratus diikuti Empangan Pedu (50.57 peratus) dan Empangan Muda (30.56 peratus).

“Jadual penanaman padi ini ditentukan atas beberapa faktor termasuk takungan air untuk dibekalkan kepada peladang, oleh itu, peladang diminta untuk mematuhi jadual dan kaedah penanaman yang telah ditetapkan bagi memastikan pengeluaran hasil padi yang optimum,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan