WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Warga Emas Jadi Mangsa Penipuan Dalam Talian, RM588,000 Lesap

11/09/2025 05:47 PM

KUCHING, 11 Sept (Bernama) -- Seorang peniaga wanita warga emas di Miri hilang wang simpanan RM588,000 akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 61 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai National Scam Response Centre (NSRC) dan mendakwa dia terlibat dengan sindiket penipuan.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. 

“Suspek memaklumkan kononnya wanita itu perlu membuat pengesahan harta dengan memindahkan semua wang simpanannya ke akaun bank tertentu bagi tujuan audit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Farhan berkata mangsa yang tertipu dengan helah tersebut kemudian membuat beberapa transaksi pemindahan wang melalui kaunter bank keseluruhan berjumlah RM588,000 dan hanya menyedari ditipu selepas suspek berulang kali meminta bayaran tambahan.

-- LAGI

 

POLIS-PENIPUAN 2 (AKHIR) KUCHING

 

Beliau  berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau masyarakat dinasihatkan untuk lebih berwaspada, tidak panik dan tidak mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon walaupun pemanggil mendakwa daripada agensi rasmi. 

“Orang ramai diminta menyemak kesahihan sebarang panggilan mencurigakan melalui saluran rasmi dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan