WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN Disaran Pertimbang Perluas Keanggotaan Rakan Dialog

11/09/2025 07:00 PM

MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menyarankan blok serantau itu mempertimbangkan peluasan keanggotaan rakan dialog dalam kerangka ASEAN+3 yang kini merangkumi China, Jepun dan Korea Selatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata saranan itu dikemukakan oleh Kao pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.

“ASEAN+3 ini bermula sejak 1997, jadi Setiausaha Agung ASEAN berpendapat sudah sampai masa untuk rakan dialog ASEAN diperluas keanggotaannya kerana yang paling penting adalah kita nak ‘tap’ mereka punya kelebihan.

“Kadang-kadang ada rakan dialog ini bagi kita sokongan dari segi pembiayaan kewangan, menyediakan latihan (dalam bidang tertentu), logistik dan ada yang tampil memberikan sokongan kepakaran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan peluasan keanggotaan rakan dialog ASEAN itu bagi membolehkan negara anggota ASEAN memperoleh lebih banyak manfaat dari negara-negara lain.

“Macam sekarang banyak kelebihan kita (ASEAN) dapat seperti China dan Korea ada kelebihan tersendiri, begitu juga dengan Jepun,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata bagaimanapun cadangan berkenaan masih pada peringkat awal dan tiada sebarang keputusan dimuktamadkan berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, AMMTC ke-19 hari ini turut mengadakan majlis penyerahan kepengerusian AMMTC ke-20 kepada Filipina yang disempurnakan Saifuddin Nasution, menandakan negara itu menjadi pengerusi bagi Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.

Melaka menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri dan pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan serta pembanterasan jenayah rentas sempadan berhimpun dari 8 hingga 12 Sept bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

Program itu diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen Malaysia membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan