WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Persidangan Platform Penting Rangka Tindakan Mantapkan Tatakelola

11/09/2025 07:42 PM

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama)  – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) akan menganjurkan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 pada 18 hingga 19 September ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, persidangan itu menjadi platform penting bagi perancang dasar dan pemain industri dalam menilai serta merangka tindakan ke arah memantapkan tatakelola dan membina negara yang bebas rasuah. 

“Sebanyak 11 kertas penyelidikan dari beberapa universiti dan agensi akan dibentangkan berkaitan governans, integriti dan antirasuah pada kali ini".

“Pada persidangan tahun lalu, sebanyak 11 resolusi dan satu pembentangan kertas khas daripada Institut Integriti Malaysia (IIM) telah dipersetujui antaranya supaya Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dijadikan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada agensi-agensi Kerajaan yang dikenalpasti,” katanya dalam ucapan perutusan pengerusi sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah (MPP) Bilangan 3 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut mengingatkan agar pengarah serta warga kerja SPRM sentiasa mengekalkan disiplin diri dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan SPRM tanpa kebenaran pengurusan tertinggi.

Beliau berkata, sebarang tindakan memberi kenyataan atau membalas komen di media sosial tanpa kawalan boleh menjejaskan nama baik organisasi, selain menyalahi peraturan perkhidmatan awam yang menekankan kepatuhan kepada tatakelakuan serta menjaga imej jabatan masing-masing.

Selain itu, Tan Sri Azam turut menggesa warga SPRM agar lebih kreatif dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) mengikut perkembangan semasa. 

Katanya, SPRM sebelum ini telah menghantar beberapa pegawainya mengikuti pelbagai kursus berkaitan AI, pengurusan data dan keselamatan siber di India, China serta Vietnam. 

Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut turut diadakan pembentangan mengenai kempen antirasuah peringkat nasional iaitu Keep Malaysia Clean (KMC) oleh Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Datin Yasmin Ahmad Merican. 

KMC yang akan dilancarkan pada 1 Oktober ini merupakan inisiatif nasional berteraskan nilai bagi memperkukuh usaha pencegahan rasuah melalui pendidikan dan tadbir urus dengan matlamat membudayakan integriti.

Selain mesyuarat MPP, turut berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK), Mesyuarat Pengurusan Operasi (MPO) dan Mesyuarat Pengurusan Pencegahan SPRM (MPPS) dari 11 hingga 12 September 2025.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman; serta Pengarah-pengarah Kanan, Bahagian dan Negeri SPRM.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan