WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SSLR Jadi Penghubung Sarawak, Sabah - Fadillah

11/09/2025 08:14 PM

LIMBANG, 11 Sept (Bernama) -- Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 yang dilancarkan hari ini akan menjadi nadi penghubung penting antara Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata melalui jalan berkenaan, rakyat di kawasan utara Sarawak tidak lagi terbeban dengan caj lintasan, urusan pasport atau perlu melepasi pos imigresen sebelum sampai ke destinasi.

Beliau berkata laluan ini juga akan membuka peluang ekonomi baharu buat masyarakat pedalaman, melengkapkan prasarana asas serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Bagi rakyat di Limbang, Lawas dan kawasan pedalaman utara Sarawak, projek ini amat signifikan. Selama ini, ramai bergantung pada jalan balak yang bergantung pada keadaan cuaca dan memakan masa lama.

“Apabila siapnya SSLR nanti, perjalanan ke Miri atau Sabah akan lebih mudah, selesa dan menjimatkan kos,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan projek SSLR Fasa 2 di Nanga Medamit di sini.

Projek SSLR Fasa 2 dijangka siap pada 2029 melibatkan anggaran kos RM7.6 bilion.

Projek sepanjang 335 kilometer itu akan menghubungkan kawasan Mulu, Nanga Medamit (Limbang), Long Luping (Lawas) serta Ba'kelalan.

Projek tersebut merangkumi pembinaan jalan raya, jambatan, jejambat, lampu jalan dan sistem perparitan.

SSLR Fasa 2 merupakan kesinambungan kepada SSLR Fasa 1 bermula dari Lawas ke Long Luping yang dimulakan pada 2021 dan kini telah mencapai kemajuan pelaksanaan sebanyak 57.6 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan