SIBU, Sept 11 (Bernama) -- Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot ekspres yang dikemudikannya karam akibat berlanggar dengan sebuah kapal kargo, berhampiran kilang papan lapis di Tanjung Kunyit, Sungai Rajang, pada 6.27 petang Selasa.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Hui Chye Mee, 64, yang juga pemilik bot ekspres berkenaan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini, dengan kerjasama agensi lain termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Setakat ini mangsa masih belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Andy berkata sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Lanang pada 12.17 tengah malam Rabu, pasukan keluaran operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergerak ke balai polis tersebut, bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Bagaimanapun, atas faktor keadaan gelap dan keselamatan pihak bomba dan polis bersetuju operasi mencari dan menyelamat hanya dimulakan pada siang hari semalam.
Dalam laporan polis yang dibuat selepas kejadian itu, operator kapal kargo itu mendakwa apabila mengesan bot ekspress terbabit itu datang dari arah hadapan, beliau memperlahankan kelajuannya namun bot ekspress itu membuat lencongan secara tiba-tiba sebelum melanggar bahagian hadapan kapal kargo itu.
Kesan pelanggaran itu, bos ekspress itu kemudian karam dan muatannya terapung di atas permukaan sungai, namun tiada kelibat penumpang dikesan.
Maklumat awal polis menyatakan bot ekspres itu membawa barangan jualan untuk dihantar ke rumah panjang di sepanjang Sungai Rajang dan Sungai Pasin, manakala kapal kargo itu sedang membawa muatan kontena ketika kejadian.
Difahamkan, anak lelaki mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Lanang mengenai kehilangan bapanya selepas kejadian tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial