WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Angkat Imej Malaysia Sebagai Pejuang Keamanan - Abang Johari

11/09/2025 09:44 PM

KUCHING, 11 Sept (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa menerusi pendekatan diplomasi yang menekankan keamanan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan isu membabitkan hubungan Kemboja-Thailand sekali gus membuktikan komitmen Malaysia sebagai pejuang keamanan.

“Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) sendiri pun telah mengangkat standard Malaysia ini dari sudut diplomasi kerana apabila Yang Amat Berhormat dapat sedikit sebanyak menyelesaikan masalah Kemboja-Thailand, dunia telah mengiktirafkan bahawa keamanan ini adalah objektif Yang Amat Berhormat.

“Saya dengar apa yang berlaku di (Doha) Qatar itu adalah secara blatant, yang tidak mengambil kira keadaan kedaulatan sesebuah negara dan keamanan seperti yang kita tuntutkan.

“Oleh itu, kami rasa bahawa Yang Amat Berhormat telah mengangkat imej kita sebagai pejuang untuk keamanan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Bersama Komuniti sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Sarawak di sini malam ini.

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta barisan menteri Persekutuan dan negeri. 

Menurut laporan media antarabangsa, Zionis telah menyerang Doha pada Selasa lepas, kononnya menyasarkan kepimpinan politik Hamas yang dipercayai bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu, melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, menyebabkan enam orang terkorban termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.

Terdahulu, Perdana Menteri turut mengesahkan menerima jemputan daripada Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar, pada 15 Sept ini.

Anwar berkata persidangan itu antara lain akan membincangkan perkembangan mutakhir di Gaza, Palestin dan serangan ganas Zionis ke atas wilayah berkenaan yang disifatkan beliau sebagai sudah melampau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan