WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AIPA 2025: Peluang Perniagaan Melalui Pameran, Model AIPA Teguh Peranan Malaysia - Johari

12/09/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Sebanyak 25 negara pemerhati akan menyertai Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) 2025 di sini minggu depan, bukan sahaja menghadiri mesyuarat tetapi turut berpeluang meneroka peluang perniagaan melalui pameran yang dianjurkan sempena acara itu.

Presiden AIPA 2025 Tan Sri Dr Johari Abdul, yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata pameran berkenaan akan menampilkan kira-kira 70 reruai daripada syarikat besar dalam dan luar negara meliputi sektor perbankan, tenaga, penerbangan serta teknologi dron.

“Negara pemerhati bukan sahaja menyertai sesi rasmi, tetapi berpeluang berinteraksi dengan pemain industri, bertukar kad perniagaan dan meneroka kerjasama.

"Apabila mereka pulang ke negara masing-masing, mereka mungkin melihat Malaysia sebagai pilihan utama untuk melabur di ASEAN kerana infrastruktur kukuh dan persekitaran stabil yang kita ada,” katanya semasa sesi taklimat bersama media di sini hari ini.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di peringkat eksekutif, manakala di peringkat legislatif, Parlimen Malaysia menjadi tuan rumah kepada AIPA GA yang akan berlangsung Selasa (16 Sept) hingga 22 Sept di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Antara negara pemerhati yang mengesahkan kehadiran ialah Azerbaijan, Armenia, Australia, Bahrain, Kanada, Parlimen Eropah, Jerman, Jepun, Norway, Rusia, Pakistan, Turkiye, Ukraine, Brazil serta Sepanyol.

Johari berkata inisiatif menggabungkan mesyuarat Parlimen dengan pameran perniagaan itu bertujuan memastikan acara berkenaan memberi impak lebih luas termasuk menarik minat pelabur dan komuniti perniagaan.

“Program selari ini diwujudkan bagi menjadikan perhimpunan lebih bermakna, bukan sekadar mesyuarat rasmi kerajaan, tetapi platform yang memberi manfaat jangka panjang melibatkan bukan sahaja Ahli Parlimen dan pegawai kerajaan, malah komuniti perniagaan dan akademik,” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut memaklumkan mengenai Model AIPA kali kelima (Fifth AIPA Model) yang buat pertama kalinya akan diadakan di luar Jakarta, Indonesia iaitu ibu pejabat Sekretariat ASEAN.

“Buat pertama kali, Model AIPA berlangsung di Kuala Lumpur dengan menghimpunkan mahasiswa dan ahli akademik ASEAN untuk membahaskan serta meneliti isu-isu penting yang diputuskan di Perhimpunan Agung.

“Ini satu langkah penting kerana ia membolehkan generasi muda memahami hala tuju ASEAN dan menyumbang perspektif baharu,” katanya.

Johari menegaskan, walaupun Malaysia hanya mempengerusikan AIPA sekali setiap 10 tahun mengikut sistem giliran, penganjuran program yang memberi manfaat kepada kerajaan, perniagaan dan masyarakat mampu meninggalkan kesan psikologi bahawa Malaysia adalah pemimpin lama dalam ASEAN.

Dengan tema “Parlimen Menerajui Pembangunan Terangkum dan Mampan ASEAN”, persidangan kali ini menghimpunkan speaker dan ahli-ahli Parlimen dari 9 Parlimen anggota AIPA, tidak termasuk Myanmar.

Persidangan itu akan menjadi wadah penting membincangkan isu serantau mengenai keterangkuman sosial, kelestarian alam sekitar, keselamatan makanan, transformasi digital dan pengukuhan demokrasi.

Johari turut memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 dijadual akan merasmikan majlis pembukaan AIPA GA pada 18 Sept nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan