WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kongres AOSPAG Kedua Fokus Kesihatan Seksual, Reproduktif Remaja

12/09/2025 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Kongres Asia Oceania Society of Paediatric and Adolescent Gynaecology (AOSPAG) kali kedua yang menghimpunkan pakar dari pelbagai negara memperkukuh usaha menangani isu kesihatan seksual dan reproduktif kanak-kanak serta remaja perempuan, termasuk masalah kehamilan bawah umur.

Presiden AOSPAG Prof Dr Ani Amelia Zainuddin berkata kongres itu berperanan sebagai platform perkongsian kepakaran dari Malaysia, Indonesia, China, Hong Kong, Jepun, Korea, Filipina, India, Pakistan, Bangladesh, New Zealand dan Australia melalui persidangan serta webinar bulanan.

“Antara isu utama dibincangkan ialah haid, akil baligh, tumbesaran serta kehamilan remaja. Kongres ini turut membawa pakar luar negara ke Malaysia bagi membincangkan kes rumit dan hasil kajian terkini,” katanya pada Kongres AOSPAG Kedua di sini hari ini.

Persidangan tiga hari bermula semalam, dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Mohd Daud Mohd Arif, mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Ani Amelia berkata hasil daripada jaringan kerjasama antarabangsa itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Zhejiang University Children’s Hospital of Medicine di China pada November ini.

“Hospital itu mempunyai kepakaran dalam diagnostik molekul, genetik serta penyelidikan, dan MoU ini akan membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan serta pembangunan kapasiti,” katanya.

AOSPAG ditubuhkan pada 17 Jun 2017 di Hong Kong dengan penyertaan 17 wakil dari sembilan kawasan Asia sebelum berkembang menjadi badan serantau yang aktif memfokuskan isu kesihatan reproduktif remaja.

Ani Amelia berkata Malaysia kini berdepan dua cabaran besar dalam kesihatan reproduktif iaitu kadar kehamilan remaja bawah umur yang tinggi serta penurunan kadar kesuburan.

“Bagi menangani kehamilan remaja, kita perlu meningkatkan pendidikan kesihatan reproduktif bukan sahaja kepada remaja malah ibu bapa dan guru. Pada masa sama, kita perlu menggalakkan wanita berkahwin dan mempunyai anak lebih awal kerana kelewatan itu turut menyumbang kepada masalah kesuburan,” katanya.

Beliau berkata kadar obesiti yang tinggi dalam kalangan rakyat turut menjejaskan kesihatan reproduktif, termasuk menyebabkan kitaran haid tidak teratur dan kesukaran untuk hamil.

Statistik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 6,144 kes remaja hamil direkodkan dari 2023 hingga Mac 2025 iaitu 2,737 kes pada 2023, 2,752 kes pada 2024 dan 655 kes pada suku pertama tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan