WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hukuman Penjara Bekas Anggota RELA Bunuh Rakan Baik Kekal

12/09/2025 10:24 PM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas anggota RELA kerana membunuh rakan baiknya pada 2021.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hashim Hamzah, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mengetepikan rayuan Ong Chow Lee atas sabitan serta hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 27 Ogos lepas yang dimuat naik dalam laman web kehakiman, mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 13 tahun terhadap Ong kerana cubaan membunuh anak saudara mangsa. 

Kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan serentak.

Kesalahan terbabit dilakukan di belakang sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara 1.20 tengah hari hingga 1.55 tengah hari pada 23 Julai 2021. Menurut laporan media, mangsa, Fong Swee Fuan, 65, ialah bekas Ketua Bahagian MCA Marang.

Fakta kes mendedahkan Ong, 61, telah melepaskan tembakan selepas berlaku pertengkaran, menyebabkan Fong terbunuh manakala Teo Hock Beng, 48, cedera pada tangan kiri.

Ong mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Julai tahun lepas dan dijatuhi hukuman penjara masing-masing 30 tahun dan 13 tahun, yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 23 Julai 2021.

Semasa rayuan, Ong meminta Mahkamah Rayuan mengembalikan kesnya ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula, dengan alasan dia telah dipengaruhi oleh bekas peguamnya untuk mengaku bersalah, dengan mempercayai dia hanya akan menerima hukuman penjara 15 tahun, namun hukuman minimum bagi kesalahan membunuh ialah 30 tahun.

Ong turut mendakwa dia buta huruf dan mahkamah sepatutnya menyediakan jurubahasa Mandarin ketika prosiding di Mahkamah Tinggi. Dia juga mendakwa tidak memahami sepenuhnya akibat pengakuan bersalah itu kerana kekangan bahasa.

Dalam alasan penghakiman, Hakim Hashim memutuskan bahawa isu-isu yang dibangkitkan Ong adalah tidak berasas.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi mengesahkan dengan Ong dan peguamnya bahawa Ong memahami bahasa Melayu.

Mahkamah juga mendapati Ong telah mengakui fakta kes, mengenal pasti barang kes pendakwaan dan diwakili oleh tiga peguam semasa rakaman pengakuan.

"Kami sebulat suara mendapati rayuan ini tidak mempunyai merit dan sabitan terhadap perayu adalah kukuh. Hukuman penjara yang dikenakan juga adalah minimum yang ditetapkan undang-undang," kata Hakim Hashim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan