WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sakura Ferroalloys Labur RM487.5 Juta Bina Kilang Sinter, Projek Salamander

12/09/2025 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Sakura Ferroalloys Sdn Bhd mengumumkan tiga pencapaian utamanya iaitu pembukaan kilang sinter yang baru dibina dan penukar feromangan ditapis dengan jumlah pelaburan sebanyak RM487.5 juta, serta pemegang saham keempatnya, JFE Mineral & Alloy Co Ltd.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata kilang sinter dengan pelaburan sebanyak US$31 juta (RM141 juta), akan mengukuhkan keupayaan Sakura Ferroalloys untuk mengoptimumkan penggunaan bahan mentah, mengembangkan prestasi relau dan meningkatkan kecekapan pelogaman secara keseluruhan.

“Ia (kilang sinter) memastikan penyediaan suapan yang konsisten untuk peleburan, menyumbang kepada prestasi pengeluaran yang lebih stabil,” katanya.

Selain itu, syarikat itu berkata penukar feromangan ditapis yang dikenali sebagai projek salamander dengan pelaburan sebanyak US$82.5 juta (RM346.5 juta) dijadualkan siap dibina dalam tempoh 21 bulan, dengan sasaran pentauliahan pada April 2027 dan pengeluaran sepenuhnya menjelang pertengahan 2027.

“Apabila siap, kemudahan itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran feromangan ditapis sebanyak 70,000 tan setahun,” tambahnya.

Sakura Ferroalloys berkata keputusan meneruskan pengeluaran feromangan ditapis dibuat susulan penyertaan pemegang saham baharu. Pada Julai 2025,  JFE Mineral & Alloy Co memperoleh 7.5 peratus pegangan dalam Sakura Ferroalloys.

Katanya, projek itu menerima sokongan penuh daripada kerajaan dan agensi berkaitan industri, iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED). 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kepelbagaian Sakura Ferroalloys dalam feromangan karbon sederhana dan rendah menyokong matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, terutamanya dalam persekitaran pembuatan yang lebih hijau dan lebih mampan.

“Kilang sinter yang baharu juga akan meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan kestabilan pengeluaran. MIDA akan terus menyokong projek yang memacu inovasi, kelestarian dan daya tahan jangka panjang,” katanya. 

Terletak di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak, Sakura Ferroalloys dimiliki bersama oleh Assore, Sumitomo Corporation, China Steel Corporation, dan JFE Mineral & Alloy Co.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan