WILAYAH - UTARA > BERITA

Empat Lelaki Terkandas Di Gunung Jerai Selamat Dibawa Turun

13/09/2025 11:14 AM

SUNGAI PETANI, 13 Sept (Bernama) -- Empat lelaki yang terkandas di kawasan hutan Tupah, Gunung Jerai akibat hujan semalam, selamat dibawa turun kira-kira 4.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kumpulan lelaki berkenaan dilaporkan mula mendaki pada 6.30 pagi menerusi Hutan Lipur Tupah.

“Pada 7 petang, keluarga keempat-empat mangsa mula bimbang selepas mereka gagal dihubungi, sebelum bertindak membuat laporan polis pada 9 malam di Balai polis Merbok.

“Mangsa dikenali sebagai Mohd Asraf Rosni, 34; Mohd Syafiq Asraf Said, 32; Muhamad Aiman Norazam, 26, dan Muhamad Zulfahmi Zulkefli, 25. Tiga daripada mangsa berasal dari Sungai Petani dan seorang dari Jeli, Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata pasukan bomba tiba di loji penapisan Syarikat Air Darul Aman (SADA) Tupah pada 10.47 malam dan memulakan operasi mencari dan menyelamat.

“Pada awalnya, pencarian mungkin terpaksa dihentikan atas faktor cuaca dan keselamatan sebelum dirancang untuk disambung semula pada 6 pagi hari ini.

“Pada 1.15 pagi, pasukan penyelamat cuba memasuki hutan untuk melakukan pencarian… akhirnya kesemua yang terkandas berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan