WILAYAH - TENGAH > BERITA

Mayat Lelaki Ditemukan Di Anak Sungai

13/09/2025 09:17 PM

IPOH, 13 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di anak sungai di kawasan Air Rengat, Temenggor dekat Gerik pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira 9.10 pagi daripada Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Temenggor.

“Hasil siasatan awal mendapati kira-kira 8.25 pagi seorang lelaki Orang Asli berumur 32 tahun ternampak mayat berada di dalam sungai ketika melalui kawasan berkenaan.

“Pengadu kemudian bergegas ke Pengkalan Trojan, Temenggor untuk memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis bantuan TNB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik yang tiba di lokasi kejadian kemudian menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di dalam anak sungai.

Abdul Samad berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada tubuh lelaki itu dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Kes katanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan akan memberi bantuan kepada pihak berkuasa susulan penemuan mayat terbabit.

TNB dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi memaklumkan mayat itu berada di laluan menuju ke Stesen Janakuasa Temengor iaitu di luar kawasan stesen.

"TNB amat berdukacita dan menzahirkan salam takziah kepada ahli keluarga mangsa. Kejadian ini tidak melibatkan operasi stesen dan fungsi stesen berjalan seperti biasa. 

"Pasukan Polis Bantuan TNB segera melaporkan kejadian kepada Balai Polis Daerah Gerik dan pihak polis telah pun berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau kehilangan ahli keluarga diminta segera menghubungi Balai Polis Daerah Gerik melalui talian 05-791 2222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan