PORT DICKSON, 13 Sept (Bernama) -- Kerajaan diminta menyegerakan pindaan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 (Akta 530) bagi membenarkan lebih satu rumah dibina di atas satu lot di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) Datuk Amizar Abu Adam berkata akta sedia ada sebelum ini mengehadkan pembangunan perumahan di atas tanah berkenaan, sekali gus menyukarkan generasi baharu peneroka mendirikan rumah sendiri.
“Jadi, kami nak menukarkan akta itu supaya generasi Felda dapat membuat rumah sendiri dan mana rumah yang sedia ada, sekarang mengikut akta tidak boleh tambah elektrik dan air. Sebab itu perlunya tukar akta ini bagi permudahkan urusan.
“Sebagai contoh, tanah dah ada, sekurang-kurangnya suku ekar tu, dia boleh buat rumah dengan lebih cepat dan lebih satu… sebenarnya memang kami dah lama berjuang (bina lebih satu rumah) kerana kemahuan anak Felda semakin mendesak… dijangka bentang akta itu di Parlimen pada 2026 tapi harap disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan KAF 2025 ke-19 yang dihadiri 321 perwakilan daripada 317 tanah rancangan Felda seluruh negara, yang dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan di sini hari ini.
Amizar berkata pindaan juga membolehkan semua waris peneroka mendapat peluang sama rata untuk membina kediaman di atas tanah GSA berbanding sebelum ini yang terhad kepada sebuah rumah bagi setiap lot.
“Apabila satu lot tanah boleh dipecahkan, anak peneroka boleh bina rumah masing-masing. Ini beri peluang semua dapat tinggal bersama tanpa perlu membeli tanah di luar yang kini terlalu mahal. Contohnya, ada lima anak, semua boleh buat rumah di atas tanah itu selain elak perebutan,” katanya.
Beliau berkata usaha mempercepatkan pindaan itu juga akan menghidupkan lagi ekonomi setempat apabila lebih banyak kediaman dibina di kawasan terbabit, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kuasa beli mereka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan melakukan pindaan kepada akta itu, antara lain bagi mendepani cabaran dihadapi dalam usaha menyediakan keperluan perumahan bagi generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan terdapat 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara dengan kira-kira 120,000 peneroka membabitkan pelbagai generasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial