WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Terima Laporan Ugutan Video Lucah Palsu Libat Wakil Rakyat, Ahli Dewan Negara

14/09/2025 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima empat laporan daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung ugutan penyebaran video lucah palsu dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pemerasan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kes pertama dilaporkan oleh Ahli Parlimen Subang Wong Chen pada 12 Sept, selepas menerima e-mel daripada sumber tidak dikenali menuntut bayaran 100,000 USDT (Tether stablecoin cryptocurrency).

“Sekiranya permintaan tidak dipatuhi dalam tempoh tiga hari, satu video palsu berunsur lucah menggunakan wajah beliau akan disebarkan di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata laporan turut diterima daripada Ahli Dewan Negara Senator Datuk Nelson W. Angang, ADUN Kulim Wong Chia Zhen serta Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari dengan semua mereka menerima e-mel ugutan dan tuntutan sama.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memeras ugut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Kumar berkata PDRM bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengesan pemilik e-mel serta mendapatkan maklumat berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.

“PDRM memberi amaran pihak terbabit menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan sedemikian akan diambil tindakan undang-undang secara tegas, menyeluruh dan tanpa kompromi.

“PDRM tidak berkompromi dengan pihak cuba mengganggu-gugat keselamatan, ketenteraman awam serta keharmonian negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan