WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mengapa Konservasi Lautan Jadi Sebahagian Cerita Merdeka Kita

15/09/2025 11:44 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- “Apalah ertinya kemerdekaan sekiranya lautan kita, nadi kehidupan Malaysia sebagai sebuah negara maritim musnah dan tidak lagi dapat dipulihkan?”

Ini merupakan persoalan yang sering bermain di minda penulis setiap kali menyentuh soal lautan dan maritim yang merupakan antara ciri identiti negara sejak kewujudannya beratus dekad dahulu.

Di sepanjang garis pantai inilah tersimpan khazanah laut, hasil perikanan serta biodiversiti marin yang bukan sahaja menjadi sumber rezeki, malah aset strategik yang membentuk identiti dan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang merdeka.

Bagaimanapun khazanah ini dilihat semakin terancam apabila isu-isu pemanasan global, peluasan pelabuhan, penambakan laut, pembangunan pesisir dan pelancongan air menekan ekosistem marin sekali gus menjejaskan ketersediaan sumber asli untuk jangka panjang.

Bagi sektor perikanan, nilai sumbangan ekonominya juga tidak kecil.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata industri perikanan menyumbang kira-kira RM11.8 bilion kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar negara pada 2024 berbanding RM11.5 bilion pada tahun sebelumnya dengan kadar pertumbuhan sebanyak 2.9 peratus.

“Pada masa yang sama, tahap pendaratan ikan negara berada pada tahap baik, dengan sejumlah 1.4 juta tan metrik pendaratan ikan dicatatkan setiap tahun. Daripada jumlah ini, 80 peratus adalah hasil tangkapan laut pantai.

“Sehingga kini sejumlah 43,000 vesel telah dilesenkan oleh Jabatan Perikanan (DOF) di seluruh negara dan kita juga telah mengenakan moratorium, bermaksud tiada lesen baharu dikeluarkan.

“Pada masa yang sama, kita hanya mengganti lesen bagi nelayan yang telah selesai urusan pemutihan untuk memastikan ekosistem yang mampan dan kecukupan sumber ikan bagi negara kita,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Namun di sebalik angka-angka ini, cabaran besar sedang menanti -- daripada perubahan iklim, eksploitasi berlebihan hingga pencerobohan asing yang menguji daya tahan laut negara.

 “Tahap kecukupan sumber ikan negara kini berada pada 90.7 peratus dan lebih daripada 10 peratus itu, kita terpaksa import untuk keperluan tempatan. Kita juga ada mengeksport ikan tertentu untuk keperluan negara yang berjiran dengan kita contohnya Singapura, Thailand dan China,” katanya.

Menurutnya pelbagai inisiatif telah dijalankan termasuk menubuhkan Kawasan Pengurusan Perikanan, memperkenalkan tukun tiruan, selain memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti penangkapan ikan tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU).

 

Perubahan Iklim dan Ancamannya

 

Adnan berkata perubahan iklim memberikan kesan yang nyata terhadap ekosistem laut negara secara langsung dan tidak langsung, dengan kesan paling ketara adalah peningkatan suhu laut yang menjejaskan kawasan taman laut dan rizab marin.

“Fenomena El Nino contohnya, menyaksikan berlaku kelunturan karang di beberapa kawasan laut negara,” katanya sambil memaklumkan perubahan suhu laut yang melampau turut meningkatkan risiko terhadap ternakan ikan dalam sangkar di pesisir pantai.

Suhu panas misalnya mendorong berlakunya ledakan alga seperti blum alga/ kembangan merah yang boleh mengakibatkan kematian ikan.

“Suhu laut yang tinggi bukan sahaja mencetuskan fenomena kelunturan karang sehingga menyebabkan kematian karang malah turut memberi kesan kepada kupang dan kerang di Melaka akibat pencemaran biotoksin.

“Tekanan haba ini juga menjejaskan ikan marin seperti siakap, jenahak, kerapu dan bawal emas sekali gus meningkatkan risiko penyakit kerana ikan lebih mudah mengalami stres, kecederaan dan serangan wabak,” kata beliau.

Bagi spesies ikan pelagik seperti ikan selayang, ikan tamban dan ikan kembung pula,  spesies ini berhijrah ke perairan lebih dalam apabila suhu meningkat sekali gus menyukarkan nelayan pukat jerut yang bergantung kepada tangkapan ikan pelagik.

Adnan berkata perubahan iklim turut memberi kesan kepada aktiviti akuakultur dalam kolam dan sungai sehingga menyebabkan kolam dan sungai kering serta meningkatkan risiko penyakit kerana ikan berada dalam keadaan stres.

Hujan lebat atau La Nina pula boleh mengakibatkan banjir, merosakkan sangkar dan kematian ikan akibat kotoran, perubahan suhu mendadak serta kerosakan habitat, katanya.

 

Undang-undang Jadi Perisai

 

Malaysia dilaporkan kerugian sekitar RM823 juta akibat pencerobohan nelayan asing bagi tempoh 2020 hingga 2024 meliputi kehilangan hasil tangkapan komersial, kemusnahan habitat marin dan tekanan terhadap sumber perikanan tempatan.

Justeru, pemerkasaan undang-undang dilihat menjadi perisai baharu dalam mempertahankan sumber negara.

Rang Undang Undang Perikanan (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 29 Julai lepas, antara lain bertujuan memperkukuh tindakan terhadap aktiviti IUU, selaras dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa untuk memerangi aktiviti itu.

Ia merangkumi usaha menangani pencerobohan kapal asing ke perairan negara sekali gus memastikan aktiviti perikanan dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Selain itu, Malaysia telah memeterai Perjanjian Subsidi Perikanan (FSA) pada Februari 2024, yang menggariskan langkah-langkah menangani isu subsidi perikanan global yang menyumbang kepada aktiviti IUU.

Negara turut menunjukkan komitmen terhadap Perjanjian Langkah-Langkah Negara Pelabuhan (PSMA) walaupun belum meratifikasinya sepenuhnya, memberikan isyarat bahawa Malaysia ingin terus mematuhi piawaian antarabangsa dalam membanteras aktiviti perikanan tidak sah.

“Antara pindaan utama akta ini adalah meluaskan kawalan terhadap kapal tempatan. Sebelum ini, peraturan hanya meliputi kapal asing yang dilarang melakukan pemindahan bekalan termasuk bahan api di tengah laut tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Melalui pindaan baharu, larangan ini turut dikenakan kepada kapal tempatan bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan,” kata Adnan.

Selain itu, kapal asing yang ingin berlabuh atau mendaratkan hasil tangkapan di pelabuhan Malaysia diwajibkan memohon kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan sekali gus membolehkan pihak berkuasa menyemak status kapal sama ada ia tersenarai di bawah IUU atau sebaliknya.

Sementara itu, Adnan berkata tukun tiruan mendapat sambutan baik daripada kumpulan sasar dan nelayan. 

Bagaimanapun disebabkan peruntukan yang terhad, DOF terpaksa mengutamakan kawasan yang paling memerlukan, katanya.

“Kajian oleh Universiti Malaysia Terengganu mendapati biojisim daripada kawasan tukun adalah antara 600 kilogram (kg) sehingga 6,000 kg ikan bergantung kepada lokasi,” katanya.

Selain itu, pelbagai langkah konservasi telah dilaksanakan dengan kerjasama agensi persekutuan dan negeri untuk mengatasi kepupusan seperti kempen kesedaran supaya orang awam tidak memakan telur penyu demi memastikan kelangsungan spesies ini.

Sementara itu, walaupun penangkapan ikan pari tidak diharamkan, Malaysia telah melarang penggunaan pukat pari iaitu sejenis pukat hanyut dengan saiz mata melebihi 10 inci kerana penggunaannya boleh menjerat penyu.

 

Ekonomi Biru, Kelestarian Jangka Panjang

 

Bagaimanapun konservasi tidak bermaksud menolak pembangunan, sebaliknya, Malaysia perlu mengimbangkan kelestarian dengan kemajuan maritim melalui konsep “ekonomi biru.”

Adnan berkata DOF tidak menghalang pembangunan yang dilaksanakan malah sentiasa bersedia untuk memberikan nasihat teknikal bagi setiap projek.

“Biasanya projek besar memerlukan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). Oleh itu, kita akan memberi pandangan dalam setiap konsultasi termasuk pembinaan pelabuhan atau tambakan laut.

“Kita maklumkan kesannya kepada sektor perikanan, dan percaya projek-projek ini melalui proses kelulusan yang ketat termasuk laporan EIA yang dibentangkan di peringkat Majlis Fizikal Negara serta kelulusan Jabatan Alam Sekitar.

Adnan menegaskan bahawa DOF turut bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk memberikan input mengenai kesan projek ke atas sesuatu kawasan.

“Contohnya, dalam projek tambakan laut di Pulau Pinang dan Johor, kita telah memberi input teknikal mengenai bilangan nelayan terjejas, sumber utama yang hilang serta langkah mitigasi yang patut diambil bagi meminimumkan impak.

Mengulas laporan mengenai populasi ikan pari dan ikan bilis yang terjejas teruk akibat pembangunan, Adnan menjelaskan ia bukanlah disebabkan pembangunan pelabuhan tetapi faktor utama adalah kaedah penangkapan yang tidak lestari.

“Oleh itu, kita telah memperkenalkan langkah konservasi seperti musim larangan memancing untuk ikan bilis. Di Langkawi misalnya, pada September, aktiviti menangkap bilis dihentikan kerana ia musim pembiakan.

“Selain itu, kita mengharamkan penggunaan peralatan yang merosakkan habitat seperti bubu naga serta mengawal aktiviti pukat tunda.

Adnan berkata pembangunan maritim dan sektor perikanan perlu bergerak seiring, dengan sebarang pembangunan perlu dibincangkan dengan pihak berkaitan demi kebaikan bersama.

Penulis juga bersetuju, malah menganggap mempertahankan biodiversiti bukan lagi pilihan, sebaliknya satu amanah dalam semangat patriotisme moden memandangkan ia juga tiang kepada ekonomi negara.

Komitmen dalam mempertahankan kekayaan biodiversiti negara dan khazanah laut yang luas perlu diteruskan agar Malaysia terus utuh sebagai sebuah negara maritim yang merdeka dan lestari bagi generasi mendatang.

Daripada tukun tiruan hingga undang-undang perikanan, daripada nelayan kecil hingga dasar antarabangsa, semuanya adalah sebahagian daripada perjuangan maritim negara.

Inilah erti merdeka yang sebenar, bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi memastikan laut kita terus subur, ekonomi terus makmur dan warisan ini sampai ke generasi mendatang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan