WILAYAH - SABAH > BERITA

Banjir Di Papar: Utamakan Penghantaran Bekalan Keperluan, Pindah Penduduk Ke PPS - Armizan

15/09/2025 02:16 PM

PAPAR, 15 Sept (Bernama) – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali akan memastikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar mengutamakan penghantaran bekalan keperluan kepada penduduk terjejas susulan banjir akibat hujan berterusan pagi ini.

Ahli Parlimen Papar itu juga mahu jawatankuasa berkenaan menempatkan penduduk yang rumah mereka dinaiki air pada paras tidak selamat ke pusat pemindahan sementara yang dibuka di Dewan Masyarakat Papar.

Beliau berkata memandangkan semakin banyak kampung yang dinaiki air dan beberapa kawasan sudah terputus hubungan jalan raya, JPBD Papar telah mengisytiharkan bencana banjir untuk daerah itu pada 10 pagi.

“Saya bersama Pegawai Daerah (Muhammad Mohd Ali) dan (Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau) Datuk Juil Nuatim serta agensi berkaitan sedang bergerak meninjau serta menyampaikan bantuan ke kampung-kampung yang terputus hubungan jalan raya,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Terdahulu, Muhammad yang juga Pengerusi JPBD Papar mengisytiharkan bencana berikutan banjir yang melanda daerah itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan