WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rakyat Malaysia Ditahan Di Singapura, Dadah 3.8kg Ditemukan Dalam Kereta

23/09/2025 08:52 PM

Oleh Nur Ashikin ABDUL Aziz

SINGAPURA, 23 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 37 tahun ditahan di Singapura pada Sabtu lepas kerana cuba menyeludup lebih 3.8 kilogram (kg) dadah bernilai lebih S$394,000, menurut pihak berkuasa pada Selasa.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata dadah itu yang terdiri daripada 1,908 gram (g) heroin, 1,655g ganja dan 268g “Ice” dirampas daripada kereta suspek ketika pemeriksaan rapi di Pusat Pemeriksaan Tuas.

“Dadah yang dirampas itu berpotensi untuk menampung bekalan kira-kira 1,300 penagih selama seminggu. Siasatan sedang dijalankan,” kata kedua-dua agensi itu dalam kenyataan bersama.

Pegawai ICA telah mengarahkan kereta berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan menemukan dua bungkusan hitam, disyaki mengandungi dadah terkawal, yang disembunyikan dalam "panel but belakang".

Pemeriksaan lanjut oleh pegawai CNB menemukan enam lagi bungkusan hitam yang disembunyikan di beberapa ruang dalam kenderaan itu.

Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, mereka yang mengimport ke atau mengeksport dari Singapura lebih 15g diamorfin (heroin tulen), lebih 250g methamphetamine, atau lebih 500g ganja, boleh berdepan hukuman mati.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan