WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Johor Keluar 968 Saman Kesalahan Trafik Menerusi Op Lancar Sempena Deepavali

20/10/2025 11:39 AM

JOHOR BAHRU, 20 Okt (Bernama) -- Polis Johor mengeluarkan 968 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Lancar yang bermula petang semalam, sempena sambutan Deepavali. 

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata antara kesalahan itu ialah memandu secara berbahaya, tiada lesen dan mengubah suai kenderaan.

“Turut ditahan 26 individu berusia antara 15 hingga 46 tahun atas kesalahan trafik dan dadah selain 165 motosikal serta lima kereta disita,” katanya pada sidang media Op Lancar di Tambak Johor, di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata sebanyak 5,000 kenderaan termasuk 2,244 motosikal dan 2,181 kereta diperiksa dalam operasi itu.

Sementara itu, beliau berkata 1,238 pegawai dan anggota polis ditugaskan dalam pelbagai operasi termasuk Op Lancar, bagi memantau lokasi strategik dari 17 Okt hingga Rabu sempena Deepavali.

Beliau berkata ia melibatkan kawasan perumahan, pusat hiburan, pusat beli-belah, kuil, lebuh raya utama dan pintu masuk sempadan negara.

“Hasil operasi dan pemantauan, polis Johor telah membuat pemeriksaan ke atas 6,107 individu,” katanya.

Ab Rahaman berkata operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan