WILAYAH - SELATAN > BERITA

Keadaan Banjir Di Sungai Rambai Semakin Pulih

30/12/2025 01:18 PM

JASIN, 30 Dis (Bernama) -- Keadaan banjir yang melanda dua kampung di Sungai Rambai di sini akibat limpahan air Sungai Rambai semalam kini semakin pulih, kata Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai Mohd Firdaus Abd Wahid, 41.

Beliau berkata limpahan air tersebut mula disedari penduduk Kampung Parit Perawas Benteng dan Kampung Tasek Benteng kira-kira 12 tengah hari semalam, sebelum pihak berwajib membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, di sini.

“Berikutan air naik setinggi paras lutut, penduduk di kawasan terjejas mula berpindah ke PPS berkenaan secara sendiri atau dibantu agensi keselamatan.

“Keadaan cuaca adalah panas semalam dan hari ini, dan bencana tersebut dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Rambai,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Jasin Kapt (PA) Mohammad Fairul Asikin Kadir berkata air banjir mula surut perlahan-lahan, ketika tinjauan dilakukan pihaknya pada pagi tadi.

“Kita mengharapkan agar cuaca terus kekal baik pada hari ini dan paras air di kawasan kampung yang terjejas juga semakin menurun pada pagi ini, berbanding semalam,” katanya.

Sehingga 8 pagi tadi, sebanyak 36 mangsa daripada lapan keluarga berada di PPS SK Parit Penghulu berikutan banjir melanda dua kampung di daerah berkenaan pada semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan