WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aset Rizab Malaysia Pada US$124.12 Bilion Setakat Akhir November 2025 - BNM

31/12/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$124.12 bilion (US$1= RM4.04) pada 30 November, 2025, manakala aset mata wang asing lain berada pada US$266.2 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM). 

Bank pusat itu berkata butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain, mengikut format Piawaian Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). 

Butiran itu menyediakan panduan mengenai jangkaan dan potensi aliran masuk dan keluar pertukaran asing kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang, kata BNM.

“Keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan bahawa pada akhir November 2025, rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

BNM berkata bagi tempoh 12 bulan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi deposit, sekuriti dan pinjaman mata wang asing, termasuk antara lainnya, pembayaran balik berjadual bagi peminjaman luar oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing berjumlah US$13.18 bilion.

“Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah US$21.02 bilion pada akhir November 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

Ia berkata seiring dengan amalan diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

“Unjuran aliran masuk itu berjumlah US$2.91 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang,” kata BNM.

Bank pusat itu berkata satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontigensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$417 juta.

“Tidak ada pinjaman mata wang asing yang terkandung dalam opsyen, tiada kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank atau institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan