WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kelantan Sasar 12 Juta Pelancong Pada 2026 - Exco

01/01/2026 01:20 PM

KOTA BHARU, 1 Jan (Bernama) -- Kelantan menyasarkan kehadiran kira-kira 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor.

Beliau berkata sasaran itu realistik berdasarkan rekod tahun lepas yang mencatatkan kehadiran kira-kira 11 juta pengunjung, dengan hampir 90 peratus terdiri daripada pelancong domestik.

Kamarudin berkata usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa akan diperkukuh menerusi peluasan akses kemasukan ke negeri itu melalui beberapa pintu masuk utama termasuk bandar ini, Thailand, Gua Musang dan Pasir Puteh.

“Kita yakin sasaran berkenaan munasabah berdasarkan peningkatan jumlah program pelancongan yang dilaksanakan.

“Tahun ini sebanyak 52 program dirancang berbanding 41 program tahun lepas, di samping meneruskan kelangsungan program sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Acara Sambutan di Pintu Masuk Seluruh Negara dan Hab Pengangkutan Utama Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Kamarudin berkata pihaknya turut merancang menjemput pemain industri luar sebagai tetamu untuk meneroka dan mempromosikan lokasi pelancongan menarik di negeri itu.

“Usaha ini bertujuan memastikan Kelantan bukan sekadar menjadi destinasi transit sebelum ke Pulau Perhentian (Terengganu), sebaliknya mampu menarik pelancong untuk menghabiskan lebih banyak masa dan bermalam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata Kelantan turut menawarkan perkhidmatan bot ke Pulau Perhentian melalui Tok Bali yang dijadual bermula pada Mac ini, berbanding sebelum ini yang hanya bergantung kepada laluan dari Kuala Besut, Terengganu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan