WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Laksamana Madya Akan Ambil Tindakan Undang-undang Berkaitan Dakwaan Rasuah

02/01/2026 03:18 PM

PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) -- Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) Laksamana Madya Datuk Sabri Zali akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.

Menerusi kenyataan yang disampaikan penasihat perundangan beliau, Muhammad Firdaus Jumaludin pada sidang media hari ini, Sabri berkata tindakan itu termasuk terhadap Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin juga dikenali sebagai Chegu Bard yang membuat dakwaan tidak benar, mengelirukan dan berunsur fitnah. 

Muhammad Firdaus berkata semua dakwaan, termasuk penyebaran gambar serta dokumen yang dikongsikan oleh pihak tertentu di media sosial belum dapat dipastikan kesahihannya, justeru beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

"Oleh kerana sumbernya tidak dapat dipastikan, kita menyerahkan perkara ini kepada proses perundangan yang proper supaya segala persoalan yang timbul dalam ruang awam ketika ini dapat diperjelaskan," katanya.

Muhammad Firdaus turut mengesahkan bahawa Sabri telah membuat laporan polis berkenaan dakwaan berkenaan dan beberapa lagi laporan susulan akan dikemukakan selepas ini.

"Laporan polis memang telah dibuat dan beberapa lagi laporan susulan akan dibuat oleh Datuk Sabri kerana kita dapati perkara ini bukan bermula beberapa minggu lepas, sebaliknya sejak Ogos tahun lepas, seawal 2024," katanya.

Mengulas kesan penyebaran dakwaan berkenaan, Muhammad Firdaus berkata tahap kerosakan yang berlaku kini memerlukan campur tangan undang-undang memandangkan dakwaan itu disebarkan secara meluas pada pelbagai platform media sosial.

"Keseriusan kerosakan ini bukan sahaja pada peringkat institusi, malah telah melibatkan keluarga dan rakan-rakan yang turut terkesan," katanya.

Pada 31 Dis lepas, Chegu Bard dalam media sosialnya mempersoalkan pengekalan seorang pegawai kanan tentera dalam perkhidmatan walaupun didakwa telah dikenakan tindakan berhubung kes rasuah.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan