WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemain Violin AS Saman Will Smith Atas Dakwaan Gangguan Seksual

02/01/2026 04:18 PM

MOSCOW, 2 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Seorang pemain violin dari Amerika Syarikat, Brian King Joseph, telah memfailkan saman terhadap pelakon dan pemuzik Hollywood Will Smith atas dakwaan gangguan seksual, lapor Fox News dengan memetik dokumen mahkamah.

Menurut saman itu, “fakta-fakta yang dikemukakan dengan jelas menunjukkan bahawa defendan, Willard Carroll Smith II, secara sengaja memperdaya dan memanipulasi Joseph untuk tujuan eksploitasi seksual selanjutnya. Urutan peristiwa, kenyataan terdahulu Smith kepada plaintif serta kejadian pencerobohan ke bilik hotel itu menunjukkan corak tingkah laku pemangsa dan bukannya kejadian terpencil,” menurut kandungan saman berkenaan pada Khamis.

Insiden yang didakwa itu berlaku di Las Vegas pada 2025, ketika Smith mengupah seorang pemain violin bagi menyertai jelajah muziknya, lapor Fox News.

Menurut Joseph, seorang individu tidak dikenali telah memasuki bilik hotel yang disediakan oleh majikannya ketika beliau tiada, dan meninggalkan nota berbunyi: “Brian, saya akan kembali selewat-lewatnya pada 5.30, hanya kita berdua (lukisan simbol hati), Stone F.” Selepas beliau melaporkan kejadian itu kepada majikannya, Joseph mendakwa dirinya dipecat. Beliau kini menuntut pampasan atas kerugian emosi, kewangan dan reputasi, menurut saman tersebut.

Pada Disember 2025, bekas rakan rapat Smith, Bilaal Salaam, memfailkan saman berjumlah US$3 juta terhadap isteri Smith, Jada Pinkett Smith, dengan mendakwa beliau mengugutnya berhubung pendedahan mengenai kehidupan peribadinya, lapor Page Six yang memetik salinan saman itu.

Dalam saman berkenaan, Salaam mendakwa beliau menjadi sasaran kempen gangguan selepas enggan membantu bekas rakannya menguruskan krisis awam susulan insiden di Anugerah Akademi.

Pada Mac 2022, ketika majlis Anugerah Oscar, pelawak Chris Rock ditumbuk di muka oleh Smith susulan jenaka mengenai isterinya. Smith kemudiannya memohon maaf kepada hadirin ketika menerima anugerah. Rock tidak membuat laporan polis. Smith bagaimanapun dikenakan larangan menghadiri Anugerah Oscar selama 10 tahun dan keahlian beliau dalam Akademi Sains dan Seni Perfileman dilucutkan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan