WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Diasak Aktiviti Pengambilan Untung Hari Dagangan Pertama 2026

02/01/2026 07:45 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia menutup hari dagangan pertama 2026 pada paras rendah apabila pelabur mengambil kesempatan mengaut keuntungan susulan kenaikan sebelum ini, dalam persekitaran dagangan yang agak suram, meskipun kebanyakan pasaran serantau mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.35 mata mewakili 0.62 kepada 1,669.76 berbanding 1,680.11 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 4.91 mata lebih rendah pada 1,675.20, paras tertinggi intra harinya, sebelum merosot ke paras terendah harian 1,666.17 pada sesi petang.

Sentimen pasaran adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 592 berbanding 447, manakala 502 kaunter tidak berubah, 1,115 tidak diniagakan dan 18 digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.08 bilion unit bernilai RM1.80 bilion berbanding 1.89 bilion unit bernilai RM1.94 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aktiviti pengambilan untung di bursa tempatan adalah dijangkakan dan dilihat sebagai pembetulan sihat bagi menyerap kenaikan sebelum ini. 

“Indeks yang kekal melepasi paras pertengahan 1,650 mata dijangka terus menyokong sentimen pasaran, sekali gus mendorong pelabur masuk semula ketika pasaran melemah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pergerakan dagangan yang perlahan hari ini mungkin telah mengehadkan hala tuju pasaran hari ini.

“Aktiviti dagangan kekal perlahan, dengan jumlah dagangan hanya 2.0 bilion unit, jauh di bawah purata harian biasa sekitar 3.0 bilion unit, mencerminkan ketiadaan berterusan pelabur institusi dan luar negara yang masih bercuti panjang Tahun Baru,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.44, CIMB turun 15 sen kepada RM8.10, Public Bank merosot lima sen kepada RM4.49, Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM13.78, manakala IHH Healthcare jatuh 15 sen kepada RM8.60.

Dalam senarai saham paling aktif, Tanco naik dua sen kepada RM1.18, Zetrix kekal pada 81 sen, Aquawalk dan Insights Analytics masing-masing meningkat tiga sen kepada 39 sen dan RM1.13, manakala Pharmaniaga susut setengah sen kepada 28 sen.

Antara saham paling meningkat, Nestle menokok 50 sen kepada RM114.50, Dutch Lady dan QL Resources masing-masing naik 16 sen kepada RM31.16 dan RM3.95, Hong Leong Bank meningkat 14 sen kepada RM22.28, dan Malayan Cement naik 13 sen kepada RM7.79.

Bagi saham paling merosot, MPI susut RM1.04 kepada RM31.20, PPB turun 42 sen kepada RM10.64, F&N merosot 30 sen kepada RM35.20, KL Kepong merosot 20 sen kepada RM19.80, manakala Hong Leong Industries susut 18 sen kepada RM16.60.

Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas merosot 47.23 mata kepada 12,256.44, Indeks FBM Top 100 susut 48.75 mata kepada 12,058.66, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 29.79 mata kepada 12,066.50.

Indeks FBM Mid 70 meningkat 49.08 mata kepada 16,852.47 dan Indeks FBM ACE melonjak 50.32 mata kepada 4,923.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 113.36 mata kepada 19,589.99, Indeks Tenaga turun 0.54 mata kepada 766.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.46 mata kepada 172.16, manakala Indeks Perladangan menurun 53.80 mata kepada 8,271.09.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menurun kepada 977.85 juta unit bernilai RM1.59 bilion daripada 1.29 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 812.97 juta unit bernilai RM82.36 juta berbanding 314.31 juta unit bernilai RM30.39 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 290.63 juta unit bernilai RM127.81 juta berbanding 285.56 juta unit bernilai RM93.67 juta pada Rabu.

Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan mencatat 156.41 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (147.37 juta), pembinaan (87.08 juta), teknologi (135.03 juta), perkhidmatan kewangan (69.63 juta), hartanah (109.40 juta), perladangan (16.67 juta), amanah pelaburan hartanah (22.89 juta), dana tertutup (20,100), tenaga (95.86 juta), penjagaan kesihatan (55.78 juta), telekomunikasi dan media (30.49 juta), pengangkutan dan logistik (37.97 juta), utiliti (13.24 juta), dan amanah niaga (100).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan