WILAYAH - TENGAH > BERITA

Pakar Perubatan Rugi Lebih RM500,000 Terperdaya Pelaburan Kripto Tidak Wujud

03/01/2026 11:13 PM

IPOH, 3 Jan (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang pakar perubatan kerugian RM529,200 selepas terperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud pada September tahun lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata mangsa seorang lelaki berusia 67 membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.

“Siasatan awal polis mendapati pada penghujung September 2025, mangsa menerima pautan pelaburan daripada kenalan di aplikasi TikTok.

“Akibat terperdaya dengan penerangan suspek, mangsa membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM320,000 ke dalam pelbagai akaun bank berdaftar atas nama syarikat dan mangsa kemudian gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tidak lama selepas itu, mangsa terbaca mengenai sebuah entiti di Facebook kononnya boleh membantu menyelesaikan masalah penipuan.

Noor Hisam berkata mangsa kemudian berhubung dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai peguam dan diminta membuat pelbagai bayaran tambahan berikutan daripada urusan berkenaan.

“Mangsa sekali lagi mengalami kerugian RM209,200 dan jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa RM529,200.

“Mangsa mula berasa ragu-ragu dan hilang kepercayaan terhadap kesahihan urusan itu sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan