SEREMBAN, 8 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 77 pendatang asing tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan dijalankan di 13 lokasi sekitar Seremban dan Nilai bermula 9 pagi Selasa sehingga 1 pagi (Rabu).
Pengarah JIMNS Kennith Tan Ai Kiang berkata pemeriksaan dilakukan ke atas 395 warga asing hasil aduan dan risikan selama seminggu.
“Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 77 warga asing tanpa izin berumur antara 19 hingga 47 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, melibatkan 71 lelaki dan enam perempuan.
“Tangkapan membabitkan empat warganegara Indonesia, Pakistan (10), Bangladesh (26), India (26), Thailand (enam) serta Myanmar (lima) dan daripada jumlah itu, sebanyak 55 ditahan dalam serbuan di sebuah kilang sabun di Nilai,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kennith berkata antara kesalahan utama adalah tidak memiliki pas dan dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta kesalahan lain yang melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Selain tindakan terhadap warga asing itu, tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah juga akan diambil terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi warga asing tanpa izin mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial