KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Hari Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2026 yang berlangsung di sini hari ini, menghimpunkan pengamal, pengawal selia dan pemimpin industri untuk mengukuhkan tadbir urus, perkongsian ilmu dan kerjasama dalam sektor itu di negara ini.
Dianjurkan oleh KL Wellness City (KLWC) bagi menyokong visi Kementerian Kesihatan (KKM), program lima hari itu menjadi platform bagi penglibatan profesional dan dialog sektor, memperkukuh penjajaran amalan PT&K dengan dasar penjagaan kesihatan nasional.
Pengarah Eksekutif KLWC Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata acara itu mencerminkan komitmen bersama untuk membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan dan kesejahteraan yang holistik serta bersepadu di Malaysia.
"Objektifnya bukan semata-mata untuk menganjurkan acara tetapi bagi mewujudkan platform mampan yang menyokong inovasi dan pembangunan bertanggungjawab dalam sektor perubatan tradisional dan komplementari," katanya ketika berucap pada Hari Pengamal PT&K 2026 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Beliau berkata program itu merupakan keterlibatan khusus pertama PT&K dan sebagai titik permulaan bagi dialog berterusan serta kerjasama dengan pengamal, persatuan profesional dan pihak berkepentingan industri.
Tiew berkata PT&K memainkan peranan penting dalam melengkapi amalan perubatan konvensional dengan menyokong kesejahteraan, pengurusan penjagaan kronik dan penyembuhan pesakit.
"Dalam era hari ini yang dipacu AI (kecerdasan buatan), penjagaan kesihatan tidak lagi dilihat hanya pada kanta perubatan tradisional atau standard Barat, dengan peningkatan pengiktirafan bahawa penjagaan menyeluruh meliputi pencegahan, pemulihan dan rehabilitasi, kesejahteraan minda dan kualiti kehidupan, (penjagaan kesihatan) memerlukan pendekatan yang lebih bersepadu," katanya.
Sementara itu, Dr Nor Azmi menekankan kepentingan kolaborasi dalam memajukan amalan PT&K, menyatakan bahawa PT&K merupakan aspek penting dalam warisan budaya Malaysia dan terus menjalankan peranan yang semakin penting dalam kesejahteraan, rehabilitasi dan pemulihan sekali gus melengkapi penjagaan perubatan konvensional.
Beliau mengulangi komitmen kementerian pada tadbir urus dan pengawasan peraturan, menekankan bahawa kerangka itu direka bukan sebagai penghalang tetapi sebagai penyelaras untuk melindungi pengamal dan menyokong pertumbuhan lestari sektor berkenaan.
"Sejak proses pendaftaran bermula pada 2021, lebih 17,000 pengamal telah didaftarkan di bawah PT&K. Kami menggalakkan penglibatan berterusan untuk memastikan pengamal mengambil bahagian dengan selamat dan bertanggungjawab," katanya sambil menambah bahawa kementerian kekal fokus pada piawaian, penyeliaan dan kepercayaan awam.
Sorotan utama acara itu ialah sesi taklimat KKM yang menggariskan peraturan terkini, keperluan pematuhan dan mekanisme penguatkuasaan untuk perkhidmatan PT&K di seluruh negara.
Program diteruskan dengan forum “Bridging Traditional Wisdom with Modern Recovery”, menampilkan pandangan daripada pemimpin dan penggubal dasar terkemuka dalam bidang tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial