KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui kegagalan anak buahnya untuk kekal fokus dan konsisten, khususnya dalam aspek servis antara punca utama tersingkir di suku akhir Terbuka Malaysia 2026, meskipun memiliki pelan permainan yang jelas serta kelebihan dari segi fizikal.
Nova berkata pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sepatutnya mampu melangkah lebih jauh namun kelekaan dalam beberapa mata penting memberi ruang kepada lawan dari Hong Kong mengutip mata mudah.
“Pertama sekali, kami ingin memohon maaf. Kali ini kami gagal mencapai sasaran minimum untuk mara ke final. Pada set ketiga, dari awal hingga mata terakhir banyak mata kami hilang dalam situasi penerimaan servis tidak bersedia.
"Jadi dalam satu, dua, tiga pukulan sahaja Hong Kong sudah boleh meraih mata daripada situ. Saya rasa fokus mereka tidak konsisten,” katanya.
Mengulas prestasi keseluruhan pasangan itu selepas menjuarai gelaran dunia, Nova melihat peningkatan dari segi kestabilan pada pusingan awal, namun menegaskan keperluan untuk lebih konsisten hingga ke peringkat separuh akhir dan final.
“Jika dilihat dari segi prestasi, mereka kini sedikit lebih konsisten. Mereka jarang tewas di pusingan pertama atau kedua. Pada pandangan saya untuk benar-benar konsisten hingga mara ke final atau separuh akhir secara berturut-turut, itu masih belum dapat dicapai.
“Menjadi pemain tahap tertinggi, mereka perlu konsisten, minimum perlu ikut kedudukan pilihan. Jika diletakkan pilihan ketiga atau keempat, maka sekurang-kurangnya perlu berada di tahap itu. Selepas itu, barulah boleh meningkat sebab sudah tidak boleh lagi tewas di peringkat suku akhir,” katanya.
Menjelang Terbuka India yang dijadualkan pada 13 hingga 18 Jan ini, Nova berharap anak buahnya dapat segera melupakan kekecewaan beraksi di laman sendiri dan memberi fokus penuh kepada kejohanan seterusnya.
“Undian Terbuka India mungkin hampir sama seperti di sini. Jadi saya rasa kita perlu melupakan apa yang berlaku di sini.
“Mudah-mudahan kita boleh. Jika kita berfikir bahawa kita sudah kalah di sini dan sasaran sudah terlepas, saya rasa keadaan itu mungkin akan menyebabkan kita gagal lagi selepas ini. Jadi saya rasa keputusan di sini perlu dilupakan walaupun kita kecewa, dan kita mesti melupakan keputusan ini,” katanya.
Terdahulu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 17-21, 21-17, 10-21 dalam perlawanan sengit selama 67 minit di Axiata Arena.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial