KINABATANGAN, 10 Jan (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Warisan dan Bebas, manakala pertandingan satu lawan satu berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag antara calon BN dan Warisan.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Eddy Syaizul Rizam Abdullah, di Dewan Sri Lamag, di sini hari ini.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas penamaan daripada tiga orang calon bagi kerusi Parlimen dan dua calon bagi kerusi DUN bagi bahagian pilihan raya P187 Kinabatangan dan N58 Lamag.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai semakan, saya berpuas hati memutuskan tiada kertas penamaan yang ditolak,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili BN, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlaku antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Pusat penamaan calon dibuka pada 9 pagi tadi dan proses mengemukakan borang pencalonan berlangsung selama satu jam.
Bagi PRK Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim, 32, merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada 9.06 pagi, diikuti Saddi, 67, (9.18 pagi) dan Goldam, 40, (9.31 pagi).
Mohd Ismail, 44, pula merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan bagi PRK DUN Lamag, iaitu pada 9.04 pagi, dikuti Mazliwati, 53, pada 9.07 pagi.
Proses penamaan calon menurut SPR berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam, 23 Jan.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag adalah sebanyak 48,722 orang merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis serta pasangan sebagai pengundi awal.
Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) bagi kedua-dua PRK berkenaan ialah di Dewan Sri Lamag.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan dengan satu saluran, akan digunakan.
Menurut SPR kesemua pusat mengundi akan dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang, kecuali 20 pusat mengundi di tiga DUN iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau, ditutup seawal 12 tengah hari hingga 4 petang.
SPR menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial