WILAYAH - UTARA > BERITA

Pulau Pinang Jangka Terima Kemasukan Lebih 8 Juta Pelancong Melalui LTAPP Tahun Ini

10/01/2026 05:18 PM

BATU KAWAN, 10 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang dijangka terus mencatat pertumbuhan positif dalam sektor pelancongan tahun ini, dengan jangkaan kemasukan pelancong melebihi lapan juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata perkembangan itu didorong oleh pembukaan beberapa laluan penerbangan antarabangsa baharu, khususnya dari negara Asia dan Asia Tenggara yang menawarkan penerbangan terus ke Pulau Pinang.

“Saya difahamkan pada tahun lepas, Pulau Pinang merekodkan pergerakan penumpang di LTAPP mencecah kira-kira lapan juta orang, namun begitu angka rasmi masih belum dimuktamadkan.

“Tahun ini pula kita bakal menyaksikan lebih banyak pengumuman berkaitan pelancaran laluan penerbangan antarabangsa baharu terus ke Pulau Pinang, antaranya penerbangan AirAsia dari Phuket serta Spring Airlines dari Shanghai dan Guangzhou,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesenian ‘Khazanah Nanhai-Memperingati Ulang Tahun Ke-400 Kapal Karam Wanli’ di Eco Horizon, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wong berkata selain laluan berkenaan, beberapa lagi penerbangan antarabangsa dijangka diumumkan pada tahun ini, sekali gus berpotensi menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang.

Beliau berkata peningkatan akses penerbangan antarabangsa ke negeri ini dijangka menarik kemasukan pelancong dari Asia Tenggara, India, Asia Timur, Timur Tengah serta China, seterusnya mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Dalam pada itu, Wong turut optimis tahun ini akan menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan, bukan sahaja disumbangkan oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), malahan bersempena dengan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 (MYMT2026) yang dijangka memberikan impak positif kepada sektor pelancongan perubatan di negeri ini.

“Pulau Pinang mempunyai kelebihan dari segi kemudahan perubatan bertaraf antarabangsa, selain produk pelancongan yang pelbagai. Faktor-faktor ini akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Wong berkata langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menaik taraf sistem pagar automatik baharu Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di LTAPP berupaya melancarkan urusan pelepasan  dan kemasukan pelancong ke negeri ini.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya menerima banyak rungutan mengenai pelancong yang terpaksa beratur panjang di kaunter manual, justeru dengan pelaksanaan sistem baharu itu dapat mengurangkan kesesakan selain mempercepat proses pelepasan imigresen di lapangan terbang itu.

Sistem berkenaan mula beroperasi di balai pelepasan dan dijangka dilancarkan di balai ketibaan dalam beberapa minggu lagi sebelum Tahun Baharu Cina, sekali gus memudahkan kemasukan serta pelepasan pelancong tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan