Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 11 Jan (Bernama) -- Kemboja yakin dapat mengeksport satu juta tan metrik (MMT) beras pada tahun ini walaupun pasaran global sedang mengalami lebihan bekalan dan harga yang rendah.
Eksport beras Kemboja mencecah 940,000 tan metrik tahun lalu, didorong oleh import yang kukuh dari Kesatuan Eropah (EU) dan China. Lebih 60 peratus daripada eksport itu adalah beras wangi.
Menurut Persekutuan Beras Kemboja, negara itu memperoleh pendapatan RM2.5 bilion (US$602 juta) daripada keseluruhan eksport beras.
“Kami menyasarkan satu juta tan metrik tahun ini. Kapasiti pengeluaran keseluruhan Kemboja adalah kukuh, dan terdapat permintaan eksport yang tinggi daripada lebih ramai pembeli antarabangsa,” kata Presiden persekutuan itu Lay Chhun Hour kepada Bernama.
Negara Asia Tenggara itu, walaupun bukan pengeksport beras utama secara konsisten menghasilkan beras untuk tujuan eksport, terutamanya beras wangi bijian panjang jenis jasmine.
Thailand dan Vietnam kekal sebagai pengeksport utama serantau, masing-masing mengeksport sekitar lapan juta tan metrik setiap tahun. India pula merupakan pengeksport beras terbesar di dunia, dengan kira-kira 20 juta tan metrik setahun.
Pasaran beras global kini berdepan lebihan bekalan yang sangat tinggi dan peningkatan stok simpanan, selain lonjakan pengeluaran beras India, yang dijangka menekan harga komoditi itu, menurut penganalisis industri.
Persekutuan Pengeksport Beras India memaklumkan kepada Bernama pada Disember lalu bahawa harga beras dijangka kekal lemah pada 2026 disebabkan lebihan bekalan yang besar di pasaran global.
Persekutuan itu meramalkan India boleh mengeksport sekitar 25 juta tan metrik beras putih dalam tempoh 2025–2026.
Samarendu Mohanty, Pengarah Pusat Pertanian Lestari dan Kajian Pembangunan di Professor Jayashankar Telangana State Agricultural University berkata akses keutamaan EU dan Perjanjian Perdagangan Bebas China menyokong eksport beras Kemboja, khususnya beras wangi.
“Saya fikir kesannya (eksport Kemboja) terhadap bekalan dan harga global tidak ketara. Kita sudah berada dalam keadaan lebihan bekalan disebabkan rekod lebihan di negara pengeksport dan pengimport beras utama di Asia,” katanya kepada Bernama.
Keputusan dua pengimport beras utama di rantau ini - Indonesia dan Filipina, pengimport beras terbesar dunia - berkemungkinan mengganggu pasaran beras pada 2026.
Jabatan Pertanian Filipina mengumumkan pada Disember bahawa import beras dijangka jatuh di bawah empat juta tan metrik tahun ini, berikutan pengeluaran domestik diunjurkan mencatatkan rekod baharu.
Indonesia pula mengambil langkah sama dengan melarang import beras berikutan pengeluaran domestik yang kukuh tahun ini, dan negara itu telah mencapai tahap sara diri beras, lapor Agensi Berita Antara.
“Kemboja boleh mengulangi jumlah eksportnya pada 2026 walaupun import oleh Indonesia dan Filipina lebih rendah. EU dan China akan mengimport beras Kemboja pada 2026, yang menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah eksport negara itu pada 2025.
“Kemboja boleh menumpukan kepada beras wanginya dan mengekalkan pasaran walaupun dalam keadaan lebihan bekalan,” kata Mohanty.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial