WILAYAH - UTARA > BERITA

Pameran Kembara Utara Pamer Lebih 80 Karya Seniman Wilayah Utara

11/01/2026 07:15 PM

ALOR SETAR, 11 Jan (Bernama) --  Lebih 80 karya seniman berasal dari utara tanah air akan dipamerkan pada Pameran Kembara Utara di Balai Seni Negeri Kedah di sini, bermula 12 Jan hingga 11 Mei depan.

Gabenor Bank Negara Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pameran edisi kedua hasil kerjasama antara Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia (BNM MAG) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah itu adalah satu siri pameran seni bergerak yang menelusuri denyut seni, sejarah dan budaya dari Wilayah Utara.

“Seiring dengan pembangunan negara, penting untuk kita mengutamakan dan meraikan seni dan budaya warisan. Bagi BNM, pengumpulan dan pemaparan seni ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memahami dan meraikan perjalanan budaya masyarakat kita.

“Seni patut merentas sempadan geografi, lapisan masyarakat dan generasi kerana ia boleh memperkaya pemikiran, memperkukuhkan jati diri dan memperluas cara kita melihat dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran Kembara Utara di Balai Seni Negeri Kedah di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan turut disaksikan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Abdul Rasheed berkata pihaknya memilih Kedah sebagai lokasi pameran kerana negeri itu kaya dengan warisan, hasil bumi dan tradisi yang telah lama menjadi sumber ilham kepada para seniman, selain Wilayah Utara sememangnya menjadi satu daripada paksi penting perkembangan seni Malaysia.

“Daripada sawah padi di Kedah, batu kapur di Perlis, kampung tradisi di Perak dan semangat kosmopolitan di Pulau Pinang. Wilayah ini memiliki identiti visual yang kukuh, bersulamkan tekstur, warna dan ceritera tersendiri.

“Kedah mempunyai tokoh-tokoh unggul seperti Ibrahim Hussein dan Sharifah Fatimah dengan karya abstrak mereka manakala Abdullah Ariff dan Yong Mun Sen pula merakam keindahan landskap tempatan seperti cahaya tropika, sawah padi dan kehidupan seharian masyarakat,” katanya.

Pameran selama lima bulan bermula 9 pagi hingga 5 petang itu akan mempamerkan karya seniman dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang, yang mengangkat karya seni dengan naratif sosioekonomi melalui landskap, budaya dan perkembangan ekonomi.

Pameran itu juga membantu mempromosikan seni dan warisan budaya negara kepada pengunjung serta memberi pencerahan kepada orang ramai mengenai komitmen BNM dalam mendukung warisan seni Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan