WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wan Rohaimi Lega Penang FC Mula 2026 Dengan Langkah Kanan

12/01/2026 12:02 PM

GEORGE TOWN, 12 Jan (Bernama) -- Penang FC memasuki kempen pusingan kedua Liga Super 2025/2026 dengan langkah kanan selepas meraih dua kemenangan berturut-turut termasuk membelasah Melaka FC 5-0 di Stadium Bandaraya semalam.

Ketua jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata keputusan itu permulaan yang baik buat pasukan bagi membuka tirai tahun ini sekali gus meningkatkan keyakinan pemain selepas mereka terumbang-ambing ketika pusingan pertama liga.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana menunjukan keazaman tinggi untuk menang. Apa yang dirancang berjalan lancar dan jentera serangan juga cukup tajam apabila menghasilkan empat gol dalam tenpoh 14 minit.

“Malah, kita boleh menghasilkan lebih banyak jaringan tetapi apapun kemenangan ini patut diraikan kerana ketika di pusingan pertama kita terumbang-ambing dan berharap momentum ini dapat diteruskan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Wan Rohaimi berkata kemasukan dua pemain baharu Nur Shamie Iszuan Amin yang dipinjamkan dari Kuching City FC serta import muda berusia 21 tahun dari FIlipina Amirul Kamil Jaser turut memperkukuh pasukan menghadapi baki saingan liga.

Beliau berkata walaupun tidak sampai seminggu menjalani latihan bersama pasukan, tahap keserasian yang dipamerkan amat memberangsangkan dan memberi impak positif kepada keseluruhan pasukan. 

Wan Rohaimi dalam pada itu menyuarakan kebimbangan terhadap penyerang Australia Dylan Wenzel-Halls yang mengalami kecederaan dalam perlawanan semalam, namun berharap ia tidak serius dan pemain berusia 28 tahun itu diharap dapat beraksi menentang KL City FC Rabu ini.

Sementara itu, E. Elavarasan yang baru mengambil alih tugas ketua jurulatih Melaka FC terpaksa akur dengan kekalahan berkenaan dan mengakui pemainnya belum dapat menyesuaikan diri dengan rombakan yang dilakukan.

Beliau berkata bolos empat gol seawal 15 minit pertama permainan jelas meletakkan pasukan dalam keadaan sukar untuk bangkit, selain terdapat beberapa kesilapan mudah.

“Apa pun, kita perlu menerima hakikat kekalahan ini dan belajar daripada kesilapan yang dilakukan. Pasukan perlu segera melakukan penambahbaikan dalam tempoh tiga hari ini dan mesti mendapatkan keputusan positif ketika menentang PDRM FC pada Rabu ini,” katanya.

Perlawanan semalam menyaksikan Harimau Kumbang berpesta gol selepas membelasah Melaka FC 5-0 sekali gus melonjakkan Penang FC ke tangga kesembilan liga, memintas Sabah FC dengan kelebihan jaringan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan