WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas PTD Nyata Hasrat Bersara Awal - Mohamed Khaled

12/01/2026 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Bekas Panglima Angkatan Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menyatakan hasrat untuk bersara awal daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hasrat itu disampaikan menerusi peguam Muhammad Hafizuddeain hari ini, bagi membolehkan Majlis Angkatan Tentera (MAT) mencari calon Panglima Angkatan Tentera (PAT) baharu.

“Saya ada terima makluman, surat daripada peguam Hafizuddeain yang sekarang (sedang) bercuti menyatakan hasrat bersara awal daripada Angkatan Tentera Darat bermula 1 Jan.

“Permohonan itu membolehkan kita memulakan proses mencari pengganti dan seperti (yang) sedia maklum MAT sebelum ini membuat keputusan beliau dilantik PAT,” katanya.

Mohamed Khaled yang ditemui selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di sini hari ini berkata, keputusan melantik bekas PTD itu sebagai PAT yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Jan juga telah ditangguhkan.

Beliau berkata, dengan pengumuman persaraan awal itu, jawatan PAT kini secara rasmi kosong, sekali gus membolehkan MAT memulakan proses pencalonan bagi mengisi jawatan tertinggi angkatan tentera itu.

“MAT akan menghantar syor kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (sebagai pemimpin tertinggi ATM) untuk perkenan... jadi itu akan ambil sedikit masa,” katanya.

Jawatan PAT kini dipangku Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan